SHAH ALAM, 29 OKT : Malaysia menyasarkan pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida setara menjelang tahun 2035.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan, sasaran di bawah Pelan Sumbangan Negara yang Ditentukan (NDC 3.0) merangkumi pengurangan tanpa syarat sehingga 20 juta tan karbon dioksida setara.
Katanya, tambahan 10 juta tan lagi akan dikurangkan secara bersyarat bergantung kepada ketersediaan pembiayaan iklim, pemindahan teknologi dan sokongan pembangunan kapasiti antarabangsa.
“Melalui unjuran ini, Malaysia dijangka mencapai aras pelepasan gas rumah kaca puncak antara 2029 hingga 2034,” menurut kenyataan berkenaan.
Kenyataan itu turut memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Oktober lalu bersetuju dengan sasaran terbaharu pengurangan pelepasan GHG negara, iaitu NDC 3.0 kepada Perjanjian Paris di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).
Katanya, NDC perlu disediakan setiap lima tahun bagi menyumbang kepada matlamat Perjanjian Paris bagi mengehadkan pemanasan global berpunca daripada aktiviti manusia seperti pembakaran bahan api fosil dan penyahhutanan.
"Sebelum ini, Malaysia menetapkan sasaran NDC 1.0 pada 16 November 2016 dan NDC 2.0 pada 30 Julai 2021.
“Sasaran pengurangan mutlak bawah NDC 3.0 lebih bercita-cita tinggi dari sasaran intensiti pelepasan karbon yang ditetapkan dalam NDC 1.0 dan NDC 2.0," katanya.




