RS-2: Selangor perkenal inisiatif satu sukan, satu PBT, teruskan momentum SUKMA

7 Ogos 2026, 9:43 AM
RS-2: Selangor perkenal inisiatif satu sukan, satu PBT, teruskan momentum SUKMA

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Negeri akan meneruskan momentum penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) melalui penekanan 'satu sukan satu PBT' bagi menggalakkan rakyat Selangor mengamalkan gaya hidup aktif.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu akan memformalisasikan pembangunan sukan komuniti di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus memperkukuh ekosistem sukan akar umbi secara bersepadu.

“Kepentingan sukan akan dipertingkatkan dengan meneruskan momentum SUKMA melalui penekanan sukan di setiap lokaliti yang merentasi latar belakang dan umur rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang bertemakan 'Memimpin Pertumbuhan, Memacu Kemakmuran, Menerajui Asean' pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Penganjuran temasya SUKMA Selangor dilaksanakan dengan kerjasama PBT di seluruh Selangor yang menjadi tuan rumah bersama bagi setiap acara dan venue perlawanan.

SUKMA Selangor edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA akan diadakan dari 5 hingga 10 September.

Sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue, manakala PARA SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dengan 316 acara yang berlangsung di daerah Petaling dan Klang.

Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan https://www.amirudinshari.com/rs2 atau https://www.selangor.gov.my/rs2

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.