RS-2: Selangor bangunkan Indeks Kehidupan Bermaruah, usaha tangani kos sara hidup

7 Ogos 2026, 9:00 AM
RS-2: Selangor bangunkan Indeks Kehidupan Bermaruah, usaha tangani kos sara hidup
RS-2: Selangor bangunkan Indeks Kehidupan Bermaruah, usaha tangani kos sara hidup

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Negeri akan membangunkan Indeks Kehidupan Bermaruah Selangor yang merangkumi garis ukur pelbagai dimensi selaras dengan cabaran kehidupan di kawasan bandar bagi menangani kos sara hidup. 

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan indeks itu akan digerakkan melalui kerangka pembangunan unit statistik baharu negeri bagi menilai keberkesanan program bantuan dan sokongan kepada isi rumah. 

“Penilaian akan dibuat setiap 12 dan 24 bulan untuk menyemak perkembangan kehidupan penerima bantuan negeri sekali gus memastikan keberkesanan bantuan yang disalurkan dapat dinilai secara berkala. 

“Tekad pentadbiran ini adalah untuk membina sebuah negeri yang bermaruah dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat secara menyeluruh di samping memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan sejahtera,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata antara ikhtiar Kerajaan Selangor adalah memadankan penerima bantuan kewangan negeri dengan program latihan dan peluang pekerjaan selagi mereka masih sihat serta berkemampuan untuk bekerja. 

“Program Bantuan dan Sokongan Isi Rumah menyediakan sokongan kewangan langsung kepada isi rumah B40 dan komuniti terdedah menerusi BINGKAS+, TUNAS dan TAWAS bagi mengukuhkan daya tahan isi rumah menghadapi tekanan kos sara hidup.” 

“Selain itu, Program Akses Komuniti Makanan bagi memperkukuh akses makanan dan keterjangkauan barangan keperluan asas bagi isi rumah berpendapatan rendah melalui Food Bank Selangor, Jualan Ehsan Rahmah (JER) Madani dan Jom Shopping Perayaan,” tambahnya. 

RS-2 menerusi Misi Ketiga: Negeri Penyayang dan Berdaya Huni menggariskan 25 inisiatif bagi memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui pemerkasaan aspek keterjangkauan, kebolehdiaman dan kesejahteraan secara menyeluruh.

Menerusinya, lima bidang keutamaan digariskan iaitu perumahan dan komuniti, kos sara hidup, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan keluarga, budaya dan warisan serta belia dan sukan yang menjadi fokus utama dalam meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan rakyat. 

Misi ketiga RS-2 menyasarkan pembentukan Selangor sebagai negeri penyayang, berdaya tahan dan berdaya huni dengan memastikan penduduk mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan menyeluruh, komuniti inklusif serta kehidupan berkualiti pada setiap peringkat usia.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.