SHAH ALAM, 7 OGOS: Selangor menyasarkan pendapatan median isi rumah meningkat kepada RM14,500 sebulan menjelang 2030 menerusi Misi Keempat Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu meningkat berbanding pendapatan median isi rumah semasa berjumlah RM10,726 sebulan.
"Alhamdulillah, kita berjaya melepasi sasaran pendapatan median isi rumah yang ditetapkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
"Kita menyasarkan pendapatan isi rumah RM9,290 sebulan dan menurut angka terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan median isi rumah di Selangor berjumlah RM10,726 sebulan, iaitu hampir RM1,500 melebihi sasaran," katanya ketika membentang RS-2 di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata sasaran itu merupakan antara tiga indikator makro di bawah Misi Keempat RS-2 yang memfokuskan pembangunan modal insan produktif dan inklusif.
Selain meningkatkan pendapatan median isi rumah, Amirudin berkata Kerajaan Negeri menyasarkan kadar pengangguran diturunkan 2.2 peratus serta pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 6.1 peratus menjelang 2030.
"Kita menyedari sasaran ini bukan mudah dicapai, tetapi kita yakin sekiranya kesemua 23 inisiatif yang digariskan dalam Misi Keempat ini, Insha-Allah sumber utama negeri Selangor iaitu tenaga kerja dan rakyat kita akan terus kukuh, berkeyakinan dan makmur," tambahnya.
Menurutnya, pembangunan modal insan semakin penting mengambil kira anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia populasi Selangor akan meningkat kepada 8.1 juta menjelang 2049.
Beliau menegaskan rakyat perlu terus menjadi keutamaan dalam pembangunan negeri memandangkan Selangor tidak mempunyai sumber tanah yang luas atau kekayaan sumber asli seperti petroleum dan gas.
"Hal ini demikian kerana kita tidak mempunyai sumber tanah yang luas. Kita tidak mempunyai sumber petroleum mahupun gas.
"Sumber kita adalah rakyat," katanya.
RS-2 merupakan kerangka pembangunan Selangor bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menggariskan enam misi, 25 bidang dan 98 inisiatif.
Amirudin berkata rancangan lima tahun itu memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang antara daerah serta meningkatkan kualiti hidup rakyat berteraskan kehidupan wajar dan bermaruah.










