SHAH ALAM, 7 OGOS: Sektor aeroangkasa yang merupakan antara tulang belakang Rancangan Selangor Kedua (RS-2) menyasarkan pelaburan bernilai tinggi sekali gus memperkukuh negeri sebagai hab aeroangkasa utama rantau ini.
Pembangunan melibatkan antaranya Selangor Aero Park @ KLIA Aeropolis dan Subang Airport Regeneration Plan (SARP) berupaya merancakkan subsektor industri seperti logistik, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembinaan peralatan kapal terbang dan pendidikan latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET), kata Dato’ Menteri Besar.
“Pembangunan Selangor Aero Park @ KLIA Aeropolis sebagai hab perindustrian bertaraf antarabangsa menyasarkan pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan pekerjaan untuk bidang aeroangka, E&E dan sains hayat.
“SARP bertujuan memaksimumkan nilai ekonomi Lapangan Terbang Subang dan kawasan sekitarnya melalui pelbagai strategi pembangunan bersepadu selain meletakkan Malaysia sebagai pilihan di rantau ni.
“Lapangan Terbang Subang juga mempunyai potensi untuk menjadi tapak aktiviti penerbangan jet perniagaan dan peribadi. Ketika ini Selangor menghimpunkan lebih 67 peratus aktiviti bidang aeroangkasa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada pembentangan RS-2 di sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan ini atau ini.
Pada Jun, Kerajaan Negeri menganjurkan Forum Aeroangkasa Selangor (SAF) 2026 sebagai platform penting penggiat industri merancang strategi perniagaan dan meneroka peluang baharu dalam sektor berkenaan.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pendekatan berbeza diambil tahun ini melibatkan kerjasama MyAERO, dengan pakar industri berkongsi perkembangan semasa, cabaran dan hala tuju aeroangkasa.
Menurutnya, perkongsian maklumat semasa amat penting bagi membantu syarikat membuat perancangan perniagaan, khususnya ketika industri berdepan pelbagai cabaran global.







