SHAH ALAM, 7 OGOS: Kes vandalisme dan kecurian kabel membabitkan rumah pam serta lampu jalan di Selangor menunjukkan peningkatan ketara sejak tahun lalu sehingga menjejaskan operasi sistem tebatan banjir.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata sindiket dipercayai menyasarkan kabel dan komponen bernilai di rumah pam sebelum menjualnya sebagai bahan kitar semula, sekali gus menyebabkan kerosakan terhadap kemudahan awam itu.
Menurut beliau, kegiatan berkenaan bukan sahaja merosakkan peralatan, malah mengganggu fungsi rumah pam yang menjadi komponen penting terutama ketika kejadian banjir.
“Kecurian kabel atau komponen yang berharga terutama membabitkan rumah pam dan lampu jalan semakin meningkat. Mereka ada sindiket yang kerjanya mencuri kabel sehingga menyebabkan kerosakan kepada lampu dan rumah pam.
“Mereka pecah masuk rumah pam, curi komponen di dalam termasuk kabel. Apabila kita nak menggunakan pam itu, kita berdepan masalah kerana dalam proses tersebut mereka turut merosakkan pam.

“Memang sebelum ini ada kes, tetapi tidak seteruk sekarang. Sejak tahun lalu, kita melihat peningkatan yang agak ketara dengan lebih banyak aduan diterima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung rumah pam yang diceroboh dan divandalisme,” katanya ketika ditemui di Sidang Dewan Negeri Selangor.
Beliau menjelaskan kebanyakan rumah pam terletak di kawasan terpencil berhampiran lokasi berisiko banjir antaranya di Sungai Buloh dan Kuala Langat sekali gus menyukarkan pemantauan dan kawalan keselamatan.
“Satu tempat (rumah pam) sahaja boleh menelan belanja RM300,000 hingga RM400,000 untuk dibaik pulih. Itu yang menjadi masalah besar kepada kita.
“Walaupun pelbagai langkah keselamatan termasuk pemasangan kunci dan kamera litar tertutup (CCTV) dilaksanakan, kejadian vandalisme masih berlaku,” katanya.
Terdahulu, Ir Izham berkata Kerajaan Negeri merekodkan kerugian sehingga RM400,000 susulan kes vandalisme dan kecurian komponen sistem rumah pam yang semakin membimbangkan di beberapa kawasan di Selangor.
Beliau berkata susulan itu Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan bersama Ketua Polis Selangor bagi memperkukuh langkah penguatkuasaan serta keselamatan di rumah pam terlibat.








