Kes curi komponen rumah pam membimbangkan, negeri tanggung rugi RM400,000

6 Ogos 2026, 6:32 AM
Kes curi komponen rumah pam membimbangkan, negeri tanggung rugi RM400,000

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kerugian sehingga RM400,000 direkodkan Kerajaan Negeri susulan kes vandalisme dan kecurian komponen sistem rumah pam yang semakin membimbangkan di beberapa kawasan di Selangor.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata susulan itu Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan bersama Ketua Polis Selangor bagi memperkukuh langkah penguatkuasaan serta keselamatan di rumah pam terlibat.

“Saya telah minta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jabatan berkaitan supaya meningkatkan langkah-langkah keselamatan dengan penyediaan kamera litar tertutup (CCTV) dan sebagainya untuk pengukuhan rumah-rumah pam ini supaya (kesan itu) dapat dikurangkan.

“Kita juga meminta bantuan daripada pihak polis pihak keselamatan untuk bantu kita, di samping untuk meneliti apa lagi kaedah yang boleh gunakan untuk kita memperbaiki keadaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok Jefri Mejan berhubung usaha untuk membendung isu kerosakan dan kecurian di rumah pam pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Izham menjelaskan keupayaan sistem pam banjir adalah bergantung kepada kapasiti rekabentuk pam, intensiti serta tempoh hujan, selain kedudukan aras air laut semasa kejadian air pasang besar.

Menurutnya, JPS Selangor sentiasa memastikan semua stesen pam dan pintu air pasang surut berada dalam keadaan berfungsi dengan baik melalui pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala supaya dapat beroperasi pada tahap optimum.

“Disamping itu, JPS Selangor turut melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran secara berkala sebagai langkah persediaan bagi menghadapi musim hujan dan fenomena air pasang besar,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.