SHAH ALAM, 6 OGOS: Lebih 400 individu hadir memeriahkan Majlis Cahaya Selawat dan Mahabbah bersama ulama terkemuka Maghribi Maulana Syarif Dr Abdul Mun'im bin Shiddiq al-Ghumari al-Hasani di Dewan Megawati, kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini, malam ini.
Isteri Dato’ Menteri Besar yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad turut hadir menyerikan majlis yang dimulakan dengan bacaan Dalail khairat (khamis) yang dipimpin Dr Abdul Mun’im.
Majlis anjuran Pekawanis itu diteruskan dengan bacaan zikir, solat Maghrib, bacaan mawlid, tausiyah oleh Dr Abdul Mun’im dan solat Isyak.
Kerajaan Negeri secara konsisten menganjurkan pelbagai program keagamaan berunsurkan kerohanian termasuk majlis himpunan selawat, munajat serta zikir bagi memartabatkan syiar Islam di peringkat negeri.
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan Festival Turath Islami Selangor (FTIS) kembali bagi edisi keempat bermula 13 hingga 20 September ini sebagai kesinambungan manifestasi Kerajaan Negeri memperkukuh masyarakat berilmu berteraskan warisan intelektual Islam.
Dato’ Menteri Besar berkata FTIS 2026 yang mengangkat tema Hikmah Warisan Islam mengetengahkan kitab Al-Hikam al-Ata’iyyah karya tokoh besar tasawuf Islam, iaitu Ibnu Atha-illah As-Sakandari.










