EXCO: MAIS kekal rekod audit bersih 20 tahun, bukti tadbir urus berintegriti

6 Ogos 2026, 11:26 AM
EXCO: MAIS kekal rekod audit bersih 20 tahun, bukti tadbir urus berintegriti

SHAH ALAM, 6 OGOS: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengekalkan rekod audit bersih selama 20 tahun berturut-turut sehingga 2024, sekali gus mencerminkan tadbir urus, akauntabiliti dan integriti yang kukuh dalam pengurusan hal ehwal Islam serta dana amanah.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pencapaian itu membuktikan dakwaan yang membangkitkan kebimbangan terhadap pengurusan dana amanah dan harta pusaka MAIS adalah tidak berasas.

"Sejak 20 tahun lalu sehingga 2024, MAIS menerima sijil audit bersih daripada Jabatan Audit Negara bagi penyata kewangannya.

"Di bawah Seksyen 82 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, anggaran hasil dan perbelanjaan MAIS juga tertakluk kepada perkenan Sultan Selangor," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri.

Mengulas pengurusan dana amanah, Fahmi berkata MAIS turut tertakluk kepada Akta Pemegang Amanah 1949 yang mengawal selia pelaburan yang dibenarkan kepada majlis itu.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap ketika Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 6 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/ MEDIA SELANGOR

"Dana amanah ketika ini dilaburkan menerusi deposit tetap patuh syariah, manakala sebarang pulangan daripada pelaburan itu disalurkan semula ke dalam akaun amanah.

"MAIS juga sedang memuktamadkan penambahbaikan dasar pelaburannya bagi memperoleh pulangan yang lebih baik menerusi instrumen berisiko rendah, selain kekal mematuhi undang-undang Persekutuan," katanya.

Menyentuh cadangan pindaan berkaitan fatwa, Fahmi menolak dakwaan bahawa perubahan itu akan melemahkan tadbir urus Islam di Selangor.

Beliau menjelaskan kuasa berhubung hal ehwal Islam dan pengeluaran fatwa kekal di bawah bidang kuasa negeri seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Pindaan yang menggantikan perkataan 'hendaklah' kepada 'boleh' hanya memberi budi bicara kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor untuk mempertimbangkan pandangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), dan bukannya mewajibkannya," katanya.

Fahmi berkata fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor hanya terpakai kepada orang Islam di Selangor, manakala Jawatankuasa Muzakarah MKI hanya berperanan sebagai platform perbincangan dan penyelarasan antara mufti negeri serta pakar, bukan badan yang mengeluarkan fatwa.

Mengenai peranan MAIS yang diperluaskan menerusi pindaan itu, beliau berkata majlis berkenaan sememangnya telah menyediakan perkhidmatan bantuan guaman syarie dan pentadbiran harta pusaka, manakala pindaan itu bertujuan memperkukuh kerangka perundangan bagi fungsi tersebut.

"MAIS memberikan bantuan guaman kepada 1,104 individu pada 2025 dan berkeupayaan membantu sekitar 1,600 orang setiap tahun, manakala 90 peratus penerima berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

"Bagi pentadbiran harta pusaka pula, pindaan ini membolehkan MAIS bertindak secara proaktif membantu benefisiari yang terdedah kepada risiko seperti kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) serta kes waris yang tidak dapat dikesan, namun masih tertakluk kepada undang-undang sivil dan syariah sedia ada," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan MAIS hanya terhad kepada pentadbiran harta pusaka mengikut hukum syarak dan kehendak pemilik asal harta, bukannya sebagai pemilik harta pusaka berkenaan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.