RS-2 pacu PKS Selangor tembusi rantaian bekalan global

6 Ogos 2026, 4:32 AM
RS-2 pacu PKS Selangor tembusi rantaian bekalan global

SHAH ALAM, 6 OGOS: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) akan memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh keupayaan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi meningkatkan daya saing untuk menyertai rantaian bekalan global.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata syarikat tempatan akan dibantu menerusi pelbagai inisiatif termasuk Selangor International Business Summit (SIBS), Business Linkages and Acceleration Programme (BLAST), Selangor Lab Partnership Programme (SLPP) serta Program Syarikat Pertengahan.

"Usaha ini melibatkan pengukuhan hubungan antara syarikat tempatan dan syarikat multinasional, pembangunan ekosistem industri, peningkatan penggunaan teknologi, pemerkasaan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I), serta peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani, berhubung usaha mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi untuk golongan muda pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Papparaidu, yang juga ADN Banting berkata di bawah RS-2, Kerajaan Negeri turut memberi fokus kepada usaha memperkukuh ekonomi Selangor menerusi pembangunan sektor berimpak tinggi, khususnya dalam bidang pembuatan termaju dan teknologi tinggi.

Menurutnya, pendekatan itu bertujuan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, mempercepat pemindahan teknologi, membangunkan bakat tempatan serta mengukuhkan ekosistem industri negeri.

"Melalui pendekatan ini, RS-2 menyasarkan pewujudan ekosistem ekonomi yang lebih inklusif dan mampan supaya pertumbuhan pelaburan asing dapat memberi kesan limpahan kepada syarikat tempatan, komuniti serta keseluruhan rantaian nilai industri di Selangor," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.