6,997 premis dilesen bawah Dasar Pelepasan Sifar, kes pencemaran sumber air berkurang

6 Ogos 2026, 4:14 AM
6,997 premis dilesen bawah Dasar Pelepasan Sifar, kes pencemaran sumber air berkurang
6,997 premis dilesen bawah Dasar Pelepasan Sifar, kes pencemaran sumber air berkurang

SHAH ALAM, 6 OGOS: Sebanyak 6,997 premis telah dilesenkan menerusi pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) sehingga Julai 2026, sekali gus meningkatkan pematuhan terhadap pengurusan pelepasan efluen ke sumber air.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata pelaksanaan ZDP yang menghampiri tempoh dua tahun turut menyumbang kepada pengurangan insiden pencemaran sumber air serta gangguan operasi Loji Rawatan Air (LRA).

“Pelaksanaan ZDP jelas meningkatkan tahap pematuhan premis terhadap keperluan pelesenan, pelaporan kualiti pelepasan efluen serta pengurusan air sisa yang lebih sistematik.

“Sehingga Julai 2026, sebanyak 6,997 premis telah dilesenkan, sekali gus mencerminkan keberkesanan pelaksanaan ZDP dalam meningkatkan pematuhan premis terhadap keperluan pelesenan,” katanya pada sesi soal jawab Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata pengurangan insiden pencemaran sumber air dan gangguan operasi LRA turut disokong menerusi langkah lain seperti tindakan penguatkuasaan bersepadu, pemantauan strategik 24 jam di lembangan sungai serta pengaktifan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).

“Tiada insiden henti tugas LRA akibat pencemaran sumber air berpunca daripada aktiviti industri direkodkan sepanjang tahun 2025 dan sehingga 30 Julai 2026,” katanya.

Menurutnya, pematuhan terhadap pelaksanaan ZDP terus diperkasakan menerusi pelbagai pendekatan termasuk sesi libat urus, taklimat serta program kesedaran melibatkan persatuan industri dan pihak berkepentingan.

“Selain itu, Operasi 272 (OPS 272) dilaksanakan menerusi lawatan dari pintu ke pintu bagi mengenal pasti premis industri di kawasan taman perindustrian, di samping mengeluarkan notis pemakluman serta memberi penerangan mengenai keperluan pelesenan.

“Turut dilaksanakan ialah khidmat nasihat teknikal kepada premis berkaitan pematuhan syarat pelesenan, pemantauan kualiti pelepasan efluen, amalan pengurusan air sisa yang lebih mampan serta pemantauan berkala terhadap pematuhan Enakmen LUAS 1999, peraturan berkaitan dan syarat lesen,” katanya.

ZDP yang diterajui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) merupakan penambahbaikan kepada Peraturan-peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012.

Melalui dasar itu, semua air sisa atau efluen daripada aktiviti manusia diwajibkan diurus dan dirawat secara terkawal sebelum dilepaskan ke sumber air.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.