SHAH ALAM, 14 FEB: Hanya 28 kes kecemasan pencemaran sumber air direkodkan di Selangor tahun lalu, menurun 65 peratus berbanding 80 kes pada 2024 selepas pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP).
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata penurunan itu membuktikan keberkesanan ZDP yang dilancarkan secara rasmi pada 10 Ogos 2024 dalam mengawal pencemaran sumber air.
Rekod sebelum ini menunjukkan sebanyak 76 kes dicatatkan pada 2023, 71 kes (2022) dan 64 kes (2021).
Menurut beliau, data Indeks Kualiti Air (IKA) sungai utama negeri sehingga Oktober 2025 menunjukkan bacaan minimum berada pada Kelas II dan ke atas, sekali gus membuktikan sumber air negeri berada pada tahap selamat untuk pembekalan air mentah.
“Sejak pelaksanaan ZDP juga, tiada insiden henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) utama di Selangor akibat pencemaran sumber air oleh aktiviti industri direkodkan,” katanya dalam kenyataan.
Jamaliah berkata ZDP adalah langkah proaktif dan strategik selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-6 iaitu Air Bersih dan Sanitasi. Ia juga menyokong amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), konsep Ekonomi Kitaran serta Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Dalam sektor industri, dapatan awal menunjukkan beberapa kilang termasuk industri pulpa berjaya mengintegrasikan sistem rawatan dan kitar semula efluen dalam operasi harian. Langkah itu mengurangkan pelepasan efluen ke sumber air sehingga 20 peratus.
Beliau berkata ZDP yang diterajui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) merupakan penambahbaikan kepada Peraturan-peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012.
Melalui dasar itu, semua air sisa atau efluen daripada aktiviti manusia wajib diurus dan dirawat secara terkawal sebelum dilepaskan ke sumber air.
“ZDP menggalakkan premis industri dan komersial mengurangkan pelepasan efluen, mengamalkan guna semula serta kitar semula air sisa, selain meningkatkan kesedaran alam sekitar tanpa membebankan kos operasi secara tidak munasabah.
“Pendekatan ini menekankan tanggungjawab bersama untuk melindungi sumber air sebagai aset strategik negeri,” katanya.
Menurut beliau, dasar itu dilaksanakan melalui Sistem Licensing of Effluent Discharge (LEDs) yang memantau dua aspek utama iaitu kualiti dan kuantiti pelepasan efluen.
Bagi aspek kuantiti, premis berlesen perlu menghantar laporan pelepasan air kembalian kepada LUAS setiap bulan untuk tujuan pemantauan dan pengenaan caj.
Bagi aspek kualiti pula, premis perlu menjalankan pemantauan kendiri dengan menghantar sampel efluen ke makmal bertauliah. Laporan analisis makmal perlu dikemukakan kepada LUAS setiap tiga bulan bagi memastikan pematuhan had piawaian ditetapkan.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil jika berlaku ketidakpatuhan,” katanya.
Jamaliah berkata kejayaan ZDP di Selangor turut menarik minat beberapa kerajaan negeri lain untuk mempelajari dan mencontohi pendekatan berkenaan.
“Selangor mengalu-alukan perkongsian ilmu dan pengalaman bagi memperkukuh pengurusan sumber air di peringkat nasional. Kerajaan negeri akan terus memperkukuh dasar, penguatkuasaan dan kerjasama strategik bagi memastikan sumber air dilindungi secara mampan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.


