SHAH ALAM, 5 FEB: Pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar (Zero Discharge Policy, ZDP) di Selangor berhasil apabila tiada insiden henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) utama direkodkan sejak dasar itu diperkenalkan pada 10 Ogos 2024.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata pencapaian berkenaan membuktikan keberkesanan ZDP dalam memperkukuh pengurusan sumber air negeri, khususnya dalam menangani risiko pencemaran berpunca daripada aktiviti industri.
“Sejak ZDP dilancarkan sehingga kini, tiada sebarang insiden henti tugas LRA utama Selangor akibat kesan pencemaran sumber air oleh aktiviti industri direkodkan,” katanya.
Beliau menjelaskan, pengenalan ZDP selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-6: Air Bersih dan Sanitasi di samping menyokong pendekatan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Konsep Ekonomi Kitaran serta Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Menurut Jamaliah, ZDP merupakan penambahbaikan kepada penguatkuasaan sedia ada di bawah Peraturan-peraturan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012 dengan menekankan kawalan menyeluruh terhadap semua air sisa atau efluen sebelum dilepaskan ke sumber air.
Katanya, objektif utama pelaksanaan dasar itu adalah untuk menggalakkan premis meminimumkan kuantiti pelepasan efluen serta mengutamakan usaha guna semula dan kitar semula air sisa, dan bukannya bertujuan menambah kos operasi.
“Pelaksanaan ZDP lebih menjurus kepada memupuk kesedaran supaya premis mengutamakan program berkaitan alam sekitar,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan data Indeks Kualiti Air (IKA) sungai utama negeri sehingga Oktober 2025 menunjukkan bacaan minimum berada pada Kelas II dan ke atas, sekali gus sesuai digunakan bagi tujuan pembekalan air di muka sauk LRA.
Jamaliah berkata dapatan awal di beberapa sektor industri termasuk kilang pulpa menunjukkan pengurangan pelepasan efluen melalui integrasi sistem kitar semula serta penggunaan teknologi rawatan terkini.
“Sistem ini terbukti mampu mengurangkan pelepasan efluen ke dalam sumber air sehingga 20 peratus, sekali gus meningkatkan kualiti sumber air negeri,” katanya.
Mengulas aspek pemantauan, beliau berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melaksanakan ZDP menerusi Sistem Licensing of Effluent Discharge (LEDs) yang merangkumi pemantauan kualiti dan kuantiti pelepasan efluen serta penguatkuasaan berterusan terhadap premis berlesen.
Bagi aspek kuantiti katanya, premis berlesen diwajibkan menghantar laporan pelepasan air kembalian setiap bulan.
Manakala bagi aspek kualiti, pemantauan kendiri perlu dilakukan melalui pensampelan ke makmal bertauliah dan laporan analisis dihantar setiap tiga bulan kepada LUAS.
"Tindakan penguatkuasaan akan dikenakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap had piawaian kualiti yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata pelaksanaan ZDP turut melibatkan pemantauan pematuhan syarat lesen serta penguatkuasaan bersepadu bersama agensi berkaitan bagi memastikan impak aktiviti sekitar terhadap sumber air dapat dikurangkan secara berterusan.






