BERITA UTAMA

Dasar Pelepasan Sifar berpontensi jana pendapatan tinggi kepada negeri

17 Nov 2024, 11:00 AM
Dasar Pelepasan Sifar berpontensi jana pendapatan tinggi kepada negeri

Oleh Yasmin Ramlan

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) dan Prinsip Pencemar Membayar (PPP) yang diwarta Kerajaan Negeri dijangka menyumbang pendapatan tinggi tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua inisiatif ini diunjur menjana hasil antara RM70 hingga RM80 juta kepada negeri mulai 2025.

“Bayaran cukai tanah premium kekal sebagai penyumbang hasil utama kepada negeri setiap tahun.

“Namun, pelan baharu yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri melalui ZDP dan PPP dijangka akan meningkatkan pendapatan Selangor tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Penghargaan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Hotel Majestic, pada Jumaat.

Selangor satu-satunya negeri melaksana dasar yang digubal secara mampan bagi mengatasi pencemaran sungai dan melindungi aset perkhidmatan air.

Ia berkuat kuasa Mei lalu selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Melalui ZDP dan PPP, kadar bayaran dikenakan kepada pihak industri atau premis perniagaan mengikut jumlah pelepasan efluen (sisi kimia atau kumbahan).

Sebelum ini, EXCO alam sekitar berkata melalui ZDP semua air sisa atau efluen yang terhasil daripada aktiviti harian manusia akan dikawal, diurus dan dipastikan perlu melalui proses rawatan sebelum dilepas masuk ke sumber air.

Malah Jamaliah Jamaluddin menjelaskan dasar bagi memperkasa pengurusan sumber air negeri ini juga tidak menambah kos operasi dan menjurus kepada usaha memupuk kesedaran serta penyediaan infrastruktur alam sekitar.