Lelaki berjalan bogel atas bumbung rumah rupa-rupanya PATI

21 Jul 2026, 12:50 AM
Lelaki berjalan bogel atas bumbung rumah rupa-rupanya PATI

SHAH ALAM, 21 JULAI: Lelaki yang berjalan dalam keadaan bogel di atas bumbung sebuah rumah di Klang, semalam dikenal pasti sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, lelaki berusia 37 tahun itu turut disiasat atas tiga kesalahan membabitkan khianat, perbuatan kelucahan melampau serta melanggar Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi di kawasan perumahan Taman Andalas Jaya apabila orang awam melihat suspek berada di atas bumbung sebuah rumah sebelum pihak bomba dipanggil bagi membantu menurunkannya.

"Suspek berjaya diturunkan dalam keadaan selamat dengan bantuan pihak bomba dan ditahan untuk membantu siasatan.

"Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 377D Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pada masa sama, Jit Huey turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan rakaman video kejadian itu di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.

Semalam, media melaporkan tindakan seorang lelaki berjalan di atas bumbung sebuah rumah teres dalam keadaan bogel menggemparkan penduduk di Taman Sri Andalas, Klang.

Rakaman kejadian itu tular di media sosial sebelum anggota bomba berjaya membawa turun suspek dari bumbung rumah berkenaan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.