Karnival Kerjaya Mega Selangor 2026 tawar lebih 10,000 peluang kerja

5 Ogos 2026, 10:00 AM
Karnival Kerjaya Mega Selangor 2026 tawar lebih 10,000 peluang kerja
Karnival Kerjaya Mega Selangor 2026 tawar lebih 10,000 peluang kerja

SHAH ALAM, 5 OGOS: Lebih 10,000 peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor industri bakal ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya Mega Selangor 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 8 dan 9 Ogos ini.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata, program anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama MYFutureJobs itu menghimpunkan lebih 100 majikan dan dijangka menarik antara 10,000 hingga 15,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.

"Program di bawah Program Kerjaya Selangor ini salah satu inisiatif yang diumum dalam Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 oleh Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.

"Ia bertujuan membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi semasa serta memperkukuh daya tahan pasaran buruh di negeri ini," katanya pada sidang media di Dewan Annexe, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Menurutnya, selain menawarkan peluang pekerjaan, karnival itu turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran masa depan menerusi Kelas Induk Pekerjaan Kecerdasan Buatan (AI) Generatif bagi membantu pencari kerja meningkatkan daya saing dalam pasaran pekerjaan.

"Pasaran pekerjaan kini semakin dinamik. Sebab itu individu perlu menguasai kemahiran baharu termasuk AI supaya mampu bersaing dan memenuhi keperluan industri semasa," ujarnya.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu bercakap kepada media pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Dewan Annexe, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam pada 4 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Papparaidu berkata, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti termasuk padanan pekerjaan, temu duga terbuka, Same-Day Hiring, MYFutureJobs On-The-Go, Klinik Semakan Resume, kaunseling kerjaya serta Interactive Career Exploration Board (MyCEC Light).

Katanya, program itu turut menampilkan Program Transisi Kerjaya Platform Selangor (PLATS) yang menyediakan sesi penerangan, khidmat nasihat, pendaftaran dan semakan kerjaya kepada individu yang berminat beralih ke bidang keusahawanan.

"Ini ialah satu platform untuk membantu anak muda yang mahu beralih daripada pekerjaan kepada bidang perniagaan mendapatkan maklumat yang lengkap sebelum menceburi bidang baharu," katanya.

Insentif kepada peserta, sektor pembuatan kekal dominan

Bagi menggalakkan penyertaan orang ramai, beliau berkata Kerajaan Negeri menyediakan Program Pasport Jelajah Kerjaya Selangor bernilai RM10 kepada peserta yang melengkapkan aktiviti ditetapkan sepanjang karnival.

Sekitar Karnival Kerjaya Jobcare Selangor Daerah Kuala Selangor di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) pada 11 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Selain itu, bantuan Kehilangan Kerja RM50 turut disediakan kepada individu yang layak dan memenuhi syarat ditetapkan.

"Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban rakyat serta menggalakkan penyertaan aktif dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran pekerja," tambahnya.

Mengulas sektor yang menawarkan peluang pekerjaan terbesar, Papparaidu berkata industri pembuatan terus menjadi penyumbang utama kepada pasaran pekerjaan di Selangor, selain sektor pelancongan yang mempunyai potensi besar menjana pendapatan dan membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda.

"Selangor masih menerajui sektor pembuatan dan perindustrian negara. Pada masa sama, sektor pelancongan juga mempunyai prospek yang besar kerana negeri ini mempunyai lapangan terbang, pelabuhan dan pelbagai kemudahan yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.