SHAH ALAM, 5 OGOS: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026 yang antara lain memperuntukkan penubuhan Mahkamah Utama Syariah.
RUU yang mengandungi 66 fasal itu diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan sembilan Ahli Dewan Negeri (ADN) pada Persidangan DNS di sini, hari ini.
EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, penubuhan Mahkamah Utama Syariah akan melengkapkan sistem rayuan sedia ada dengan menyediakan ruang semakan yang lebih menyeluruh bagi kes membabitkan isu hukum syarak atau kepentingan awam.
Menurutnya, walaupun RUU itu memperkenalkan satu lagi peringkat rayuan, proses penyelesaian kes tidak akan menjadi lebih lambat kerana hanya kes yang memenuhi syarat serta mempunyai merit dibenarkan untuk dirayu.
"Walaupun terdapat tambahan satu peringkat rayuan, ia tidak semestinya menyebabkan kelewatan penyelesaian kes kerana hanya kes yang memenuhi syarat dan mempunyai merit untuk dirayu akan melalui proses tersebut.
"Sebaliknya, struktur ini memberi jaminan bahawa setiap pihak mempunyai peluang yang lebih adil untuk mendapatkan semakan terhadap keputusan mahkamah," katanya ketika menggulung perbahasan RUU Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026 pada Persidangan DNS di sini, hari ini.

Fahmi berkata, pelaksanaan fasal berkaitan penubuhan Mahkamah Utama Syariah melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM240,000 setahun bagi pembayaran elaun kepada lima panel hakim lantikan negeri.
Jelasnya, Kerajaan Negeri turut memperkukuh institusi kehakiman syariah melalui transformasi digital bagi mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
"Pentadbiran di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) telah mengguna pakai sistem pendigitalan fail kes, pengurusan kes secara dalam talian serta penyampaian notis secara elektronik bagi memendekkan tempoh birokrasi fail.
"Selain itu, pembayaran secara dalam talian, sistem e-Filing, Mahkamah Digital dan prosiding secara teknologi komunikasi jarak jauh turut dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian keadilan," katanya.
Beliau berkata, pengasingan fungsi antara pentadbiran agama dan institusi kehakiman syariah menerusi RUU itu juga akan memperkukuh kebebasan institusi kehakiman, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keputusan mahkamah.
Fahmi turut memaklumkan Mahkamah Syariah Selangor mencatat prestasi yang baik apabila 4,519 daripada 9,066 kes perceraian berjaya diselesaikan menerusi laluan pantas (fast track), manakala 99.9 peratus kes pembubaran perkahwinan pada 2024 dan ke bawah telah diselesaikan.
Katanya, JAKESS bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga akan memperluaskan program literasi undang-undang syariah menerusi webinar dan audiosiar (podcast) bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pindaan enakmen berkenaan.







