Yayasan anak istimewa negeri perkasa belia OKU jadi pemimpin masa hadapan

24 Dis 2025, 4:43 AM
Yayasan anak istimewa negeri perkasa belia OKU jadi pemimpin masa hadapan
Yayasan anak istimewa negeri perkasa belia OKU jadi pemimpin masa hadapan

SHAH ALAM, 24 DIS: Yayasan Insan Istimewa Selangor (Yanis) terus memperkasa potensi belia Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai pemimpin masa hadapan menerusi Majlis Inspirasi Kepimpinan Belia OKU 2025 di bawah Program Independent Living Support Centre (ILSC).

Ketua Pegawai Eksekutif Yanis, Kamarul Hisham Yeop Hashim berkata majlis yang menghimpunkan 57 alumni ILSC itu menjadi medan penting membina keyakinan diri serta kemahiran kepimpinan belia OKU.

“Belia OKU yang berada di hadapan kita adalah alumni ILSC iaitu individu yang suatu ketika dahulu hadir dengan penuh cabaran, namun kini berdiri sebagai contoh bahawa kejayaan itu tidak mustahil,” katanya.

Tambah beliau, penceritaan kisah kejayaan oleh golongan OKU sendiri membawa mesej yang lebih kuat kerana ia lahir daripada pengalaman sebenar dan bukan sekadar teori.

Katanya lagi, Yanis komited menyediakan latihan, sokongan dan ruang bagi membantu anak-anak OKU membina kehidupan yang berdikari.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Insan Istimewa Selangor (Yanis) Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Setiap usaha dan doa tidak pernah sia-sia kerana anak-anak OKU mempunyai potensi besar dengan sokongan yang betul,” ujarnya.

Majlis tersebut turut mengetengahkan empat alumni ILSC yang berkongsi kisah kejayaan masing-masing dalam pelbagai bidang kerjaya.

Perkongsian inspirasi itu membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukanlah halangan untuk mencapai impian dan menjadi individu berdaya saing.

Program ILSC anjuran Yanis menjadi platform pembangunan sahsiah dan daya tahan belia OKU menerusi pendekatan sokongan hidup berdikari secara sistematik.

Majlis Inspirasi Kepimpinan Belia OKU 2025 menjadi bukti bagaimana dasar inklusif dan program sokongan mampu membina generasi OKU yang yakin dan berdaya tahan.