SHAH ALAM, 18 SEPT: Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) meneroka pendekatan intervensi kanak-kanak dari Jepun menerusi Modul Chinotore yang diperkenalkan pada program Hari Terbuka Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Saujana Utama, kelmarin.
Menurut YANIS, Modul Chinotore merupakan pendekatan pembelajaran dan intervensi awal kognitif berstruktur yang memberi penekanan terhadap perkembangan minda kanak-kanak berkeperluan khas.
“Bagi YANIS, usaha memperkasa golongan orang kelainan upaya (OKU) bukan sekadar menyediakan sokongan, tetapi turut menuntut penerokaan ilmu, inovasi dan pendekatan baharu yang mampu membuka lebih banyak peluang pembangunan potensi insan istimewa.
“YANIS komited untuk terus meneroka amalan terbaik dan pendekatan inovatif dalam usaha membina ekosistem sokongan OKU yang lebih inklusif, progresif dan berimpak tinggi di Selangor,” kongsinya menerusi Facebook hari ini.
Program bertemakan ‘Kenali Minda, Raikan Potensi’ yang diadakan di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YANIS, Kamarul Hisham Yeop Hashim.
Peserta program turut diberi penerangan berkaitan konsep neurodiversiti atau neurokepelbagaian, selain mengikuti demonstrasi modul, aktiviti interaktif serta sesi perkongsian bersama penjaga dan pendidik.
“Program ini juga menjadi platform pertukaran ilmu dan pendedahan kepada pendekatan intervensi yang berpotensi memperkasa perkhidmatan sokongan kepada komuniti OKU,” katanya.








