KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Rundingan bagi cadangan pembinaan hospital awam baharu di Petaling Jaya kini sedang giat dijalankan, dengan Kerajaan Negeri berharap ia dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata, pertemuan turut diadakan dengan pemilik tanah dan wakil mereka bagi memastikan persetujuan dapat dicapai.
"Ketika ini, kita masih di peringkat rundingan. Beberapa mesyuarat telah diadakan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
"Saya juga telah bertemu pemilik tanah dan wakil mereka bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan serta mencapai persetujuan.
"Insya-Allah, kita berharap rundingan ini dapat dimuktamadkan secara menyeluruh dalam tahun ini," katanya kepada Media Selangor selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Kempen Bumi 2026 di MAHSA Avenue semalam.
Pada 27 Mei lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kawasan seluas enam hektar di Taman Medan yang kini menempatkan kompleks sukan X Park PJ South dikenal pasti sebagai lokasi sesuai untuk pembinaan Hospital Petaling Jaya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang membina hospital berkapasiti 500 katil dengan lima bidang kepakaran utama, menggunakan Hospital Ampang sebagai model rujukan.
Menurut beliau, selain kos tanah yang lebih rendah, kawasan berkenaan juga cukup luas untuk menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi sekali gus mengelakkan masalah kesesakan seperti di beberapa hospital lama.
Mengulas perkara itu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata lokasi yang dicadangkan menepati keperluan penduduk dari segi akses, kapasiti, kos tanah dan kedudukannya yang berhampiran kawasan penempatan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri bersedia memudah cara dan mempercepatkan semua urusan berkaitan tanah bagi memastikan pembinaan hospital itu dapat memberi manfaat kepada penduduk daerah Petaling, khususnya di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong.
Cadangan pembinaan Hospital Petaling Jaya merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang Kerajaan Negeri untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan awam di daerah Petaling yang berpenduduk padat, namun masih belum mempunyai hospital kerajaan sendiri.







