RUU pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor diluluskan sebulat suara

4 Ogos 2026, 10:56 AM
RUU pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor diluluskan sebulat suara
RUU pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor diluluskan sebulat suara

SHAH ALAM, 4 OGOS: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2026 bagi memperkukuh kedudukan agama Islam serta sistem kehakiman syariah di negeri ini.

RUU yang dibentangkan EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah mendapat sokongan sebulat suara daripada 52 Ahli Dewan Negeri selepas selesai dibahaskan.

Ketika membentangkan RUU berkenaan semalam, Mohammad Fahmi berkata cadangan itu bertujuan memperkukuhkan kedudukan institusi agama Islam dan sistem kehakiman syariah di Selangor menerusi pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Cadangan pindaan ini melibatkan dua perkara utama iaitu memperuntukkan dengan jelas bahawa agama Islam di Selangor ialah agama Islam mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang dianuti dan diamalkan di negeri ini.

“Selain itu, ia mewujudkan suatu bab baharu berhubung Kehakiman Syariah bagi memperkukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman negeri,” katanya.

Beliau berkata pindaan itu bukan bertujuan mengubah kedudukan agama Islam di Selangor, sebaliknya memperjelaskan dan memperkukuh amalan yang telah sekian lama berasaskan sejarah, undang-undang serta pentadbiran agama Islam di negeri ini.

Jelasnya, cadangan pindaan berkaitan penubuhan Mahkamah Syariah telah dibentangkan dan diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 20 Januari lalu.

“Selanjutnya, RUU ini juga telah diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 19 Mac. Pendekatan berperingkat ini membuktikan bahawa cadangan pindaan ini bukanlah digubal secara tergesa-gesa, sebaliknya merupakan hasil penelitian, semakan dan libat urus yang dilaksanakan secara berterusan selama beberapa tahun.

“Hasil daripada pendekatan yang tersusun dan menyeluruh tersebut, Selangor kini menjadi negeri kedua yang meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi memperuntukkan secara khusus mengenai penubuhan Mahkamah Syariah serta menggubal suatu Enakmen Mahkamah Syariah yang berasingan bagi memperkukuhkan institusi kehakiman syariah di peringkat negeri,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.