SHAH ALAM, 4 OGOS: Kerajaan Selangor meluluskan peruntukan RM20 juta bagi kerja menaik taraf sistem perparitan di sepanjang Jalan Bukit Kemuning sebagai usaha jangka panjang mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning, S. Preakas berkata projek itu dijangka bermula pada Mac tahun depan selepas beberapa proses teknikal termasuk kajian, pengalihan utiliti serta penyediaan jajaran diselesaikan.
Menurutnya lagi, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor sedang melaksanakan kajian dan pengalihan utiliti melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Gas Malaysia ketika ini sebelum kerja pembinaan longkang berskala besar dimulakan.
“Kontrak projek telah dianugerahkan dan dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor manakala JKR Selangor sedang menjalankan kajian, alignment (penentuan jajaran) serta ground survey (tinjauan tapak) bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar
“Pembinaan sistem saliran baharu itu dijangka dapat meningkatkan kapasiti aliran air sekali gus mengurangkan impak banjir kilat di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Negeri Selangor.
Dalam perkembangan sama, Preakas memberitahu sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf sistem saliran dalaman di Greenville Kemuning yang dikendalikan JKR Selangor dan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel).
“Projek berkenaan sedang dilaksanakan bagi mengurangkan kesan banjir yang sering berlaku di kawasan perumahan ini,” ujarnya lagi.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan kerja penyelenggaraan longkang secara berkala serta menaik taraf sistem saliran di kawasan Seri Muda.
Preakas menjelaskan kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan tersebut ketika hujan lebat berpunca daripada kapasiti longkang sedia ada yang tidak lagi mampu menampung aliran air.
“MBSA juga telah mengenal pasti beberapa lokasi panas (hot spot) di Zon B dan Zon D, dengan kajian serta penentuan kos bagi kerja menaik taraf sistem saliran sedang dijalankan,” jelasnya.






