SHAH ALAM, 9 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning menggesa pihak berkaitan mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan itu serta memastikan ia disiapkan mengikut jadual bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.
S. Preakas berkata beliau dimaklumkan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sri Muda dan pembinaan pintu air baharu di Sungai Rasau sedang giat dilaksanakan, termasuk kerja pelebaran kolam takungan yang kini hampir siap.
“Kemajuan keseluruhan projek utama di kawasan ini dianggarkan sudah mencapai antara 30 hingga 50 peratus. Saya harap semua projek ini dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya kepada Media Selangor.
Mengulas lanjut, Preakas berkata perkara itu antara isu utama yang dibangkitkan penduduk sepanjang siri jelajah kawasan yang diadakan setiap dua minggu bagi mendapatkan maklum balas secara langsung sebelum dibawa kepada pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, jelajah fasa pertama meliputi Sri Muda, Kota Kemuning, Putera Heights dan Bukit Rimau, manakala beberapa lagi lokasi lain akan dilawati pada fasa seterusnya.
“Setiap dua minggu saya akan pilih satu zon untuk turun padang. Kita maklumkan kepada penduduk supaya hadir dan maklumkan secara langsung apakah isu yang mereka hadapi serta perkara yang perlu saya bawa kepada pihak berkaitan,” katanya.
Selain isu banjir, beliau berkata, antara aduan paling kerap diterima adalah pokok yang tidak diselenggara, jalan rosak, kerosakan infrastruktur seperti taman permainan serta isu kebersihan.
“Saya sudah bawa perkara ini kepada pihak berkuasa tempatan supaya tindakan dapat diambil secepat mungkin. Saya juga minta ahli majlis turun semak sendiri dan memberi perkembangan kepada penduduk,” katanya.
Sementara itu, Preakas turut memohon pertimbangan Kerajaan Negeri berhubung pelebaran beberapa jalan di kawasannya serta pembinaan jaringan stesen transit aliran ringan (LRT) ke Kota Kemuning bagi mengurangkan kesesakan trafik.
“Kami tidak mempunyai jaringan LRT di Kota Kemuning, Bukit Rimau dan Sri Muda. Saya harap ada satu jaringan LRT dapat disambungkan ke kawasan ini bagi memudahkan pergerakan penduduk dan mengurangkan kesesakan trafik,” katanya.








