
SHAH ALAM, 7 Ogos: Atlet renang Aslan Adnan yakin untuk membawa pulang banyak pingat terutama emas buat kontinjen Selangor dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini.
Beliau yang juga atlet kebangsaan memberitahu prestasinya berada pada tahap terbaik, malah berupaya mengatasi rekod yang dicatatkannya dalam SUKMA 2022 di Sarawak.
"Edisi lalu, saya dapat pingat emas bagi acara 4X200 meter, perak 4X100 meter dan gangsa untuk kuak lentang. Ketika itu, saya dapat rasakan prestasi agak menurun.
“Jadi, kita bersama jurulatih bincang dan ubah strategi. Nampak berhasil dan prestasi lebih bagus. Jadi saya harap dapat hadiahkan banyak pingat emas kepada kontinjen,” katanya kepada Media Selangor.

Aslan yang berusia 18 tahun berkata keserasian yang terbit sekian lama antara atlet antara kunci untuk pasukannya merebut lebih banyak pingat dalam acara berkumpulan.
“Kami berlatih bersama-sama sejak beberapa tahun ini. Jadi, keserasian antara kami memang sudah ada. Cuma perlu buat banyakkan latihan untuk lebih mantap,” katanya lagi.
Menurutnya, beliau juga mengurangkan kegiatan sosial supaya risiko kecederaan dapat dielak selain memastikan keadaan fizikal pada tahap terbaik.
“Tahun ini, sasaran terbesar saya memang SUKMA. Jadi, kita fokus kepada latihan selain jaga disiplin pemakanan. Saya memang elak perkara lain dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.

SUKMA ke-22 mempertanding sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan meliputi sembilan daerah, membabitkan 52 venue di seluruh negeri sepanjang temasya antara 15 hingga 24 Ogos.
Para SUKMA pula diadakan dari 5 hingga 14 September melibatkan 369 acara daripada 10 jenis sukan antaranya renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang dan memanah.
Majlis pembukaan dijadual berlangsung Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Selain 15 kontinjen negeri, Brunei Darussalam turut menyertai SUKMA sebagai kontinjen jemputan.
SUKMA kali ini adalah temasya sukan terbesar negara kedua terakhir sebelum Kelantan pada 2028. Selangor yang menjadi tuan rumah menetapkan sasaran 80 pingat emas pada kali ini.







