SHAH ALAM, 4 OGOS: Bagi kebanyakan orang, sayur-sayuran dan buah-buahan yang rosak hanyalah sisa yang menjadi bahan buangan dan menunggu untuk dilupuskan.
Namun di Shah Alam, sisa berkenaan dikumpulkan hampir setiap hari sebelum diproses menjadi baja organik yang kemudian dimanfaatkan oleh komuniti setempat.
Inisiatif yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak 2016 itu bertujuan mendidik masyarakat sisa makanan tidak semestinya berakhir di tapak pelupusan. Sebaliknya, bahan yang dianggap tidak lagi berguna itu mampu menjadi sumber bernilai dalam ekonomi kitaran.
Selain itu, program tersebut turut menyokong usaha kelestarian alam sekitar melalui pengurangan pelepasan gas rumah hijau, di samping membuka peluang kepada masyarakat memanfaatkan baja organik untuk aktiviti pertanian dan kebun komuniti.
SISA ORGANIK JADI KEUTAMAN
Menurut MBSA, usaha itu dilaksanakan kerana kira-kira 42 peratus daripada lebih 700 tan metrik sisa yang dijana di kawasan seliaannya setiap hari adalah lebihan makanan dan bahan organik.
Usaha tersebut juga selaras dengan matlamat MBSA untuk mengurangkan sisa ke tapak pelupusan.
Timbalan Pengarah Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa MBSA Haslina Ab Aziz berkata program itu bermula sebagai projek rintis di Pasar Seksyen 6 pada 2016 dengan hanya dua mesin pengkomposan ditempatkan di pasar tersebut, sebelum program diperluas secara berperingkat.
Kini, MBSA mempunyai sembilan pusat pengkomposan yang dilengkapi 10 mesin berkapasiti berbeza di Pasar Seksyen 6, Pasar Seksyen 16, Pasar Bandar Baru Sungai Buloh serta beberapa gerai milik majlis.
Dalam tempoh lima tahun bermula 2021 hingga Mei tahun ini, MBSA berjaya mengumpul lebih 291 tan metrik sisa makanan, merangkumi sisa sayur-sayuran dan buah-buahan yang dikutip dari pasar, gerai dan restoran di sekitar Shah Alam, yang kemudian diproses menjadi hampir 28 tan metrik baja.
Menurut Haslina, bermula tahun ini, lebih 2,000 premis makanan diwajibkan mengasingkan sisa makanan di dapur sebelum dikutip secara berasingan oleh kontraktor yang dilantik khas MBSA untuk dihantar ke pusat pengkomposan berhampiran.
"Kutipan dilakukan enam hari seminggu iaitu dari Isnin hingga Sabtu bagi memastikan sisa makanan dapat diproses secepat mungkin," katanya.
5 KG SISA SEKILO BAJA
Semua sisa makanan yang diterima akan diasingkan terlebih dahulu bagi memastikan bahan seperti plastik dikeluarkan sebelum dicampurkan dengan hampas kelapa dan enzim untuk mempercepat proses pereputan.
Haslina berkata penggunaan hampas kelapa membantu meningkatkan kelembapan sekali gus merangsang aktiviti bakteria yang menguraikan sisa makanan.
Menurut beliau, keseluruhan proses menggunakan mesin pengkomposan mengambil masa kira-kira tiga hingga empat hari untuk menghasilkan baja organik.
Secara purata, satu kilogram sisa makanan mampu menghasilkan kira-kira 200 gram baja organik. Dengan kata lain, sebanyak lima kg sisa diperlukan bagi menghasilkan satu kg baja organik.
Keberkesanan program itu dapat dilihat menerusi peningkatan pengeluaran kompos dari tahun ke tahun, iaitu daripada sekitar 3.2 tan metrik pada 2021 kepada 4.9 tan metrik pada 2022 sebelum merekodkan 4.1 tan metrik pada 2023.
Pengeluaran kembali meningkat pada tahun lalu kepada 5.7 tan metrik dan melonjak kepada 9.8 tan metrik setakat Mei tahun ini, sekali gus menjadi jumlah tertinggi sejak program berkenaan diperkenalkan.
Haslina berkata operasi pengumpulan dan pemprosesan sisa makanan dikendalikan kontraktor yang dilantik MBSA dengan bantuan pembantu am di lapangan bagi memastikan keseluruhan proses berjalan lancar.
DIMANFAATKAN OLEH KOMUNITI
Mengulas lanjut, Haslina berkata baja organik berjenama ‘Foodie Compost’ itu turut menjalani ujian kualiti di Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) bagi memastikan kandungan nutrien serta nilai pH memenuhi parameter yang sesuai untuk kegunaan tanaman.
"Konsep kita bukan semata-mata mahu menjual baja organik, tetapi mendidik masyarakat supaya melihat sisa makanan sebagai sumber yang boleh kembali semula ke kebun dan memberi manfaat kepada alam sekitar," katanya.
Buat masa ini, baja yang dihasilkan itu dipasarkan menerusi program anjuran MBSA selain dimanfaatkan oleh kebun komuniti berdaftar termasuk di Seksyen 8, Seksyen 20 serta Kebun Komuniti Surau Al Husna di Seksyen 20.
Beliau berkata baja organik itu dijual pada harga RM5 bagi setiap pek seberat satu kg, iaitu harga yang cukup berpatutan dan mampu dibeli oleh kebanyakan ahli masyarakat.
"Sambutan terhadap baja ini amat menggalakkan kerana setiap kali dipasarkan menerusi program atau acara anjuran MBSA, stok yang dibawa lazimnya habis dijual," katanya.
Menyifatkan program itu sebagai serampang dua mata, Haslina berkata pengurangan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan dapat mengurangkan pelepasan gas mentana ke atmosfera, iaitu gas yang menjadi antara penyumbang kepada pemanasan global.
Pada masa sama, baja organik yang dihasilkan oleh MBSA dapat meningkatkan kesuburan serta struktur tanah sekali gus membaiki keupayaan tanah menyimpan air dan nutrien.
Haslina berkata dari sudut sosial dan ekonomi, program itu membantu petani dan pekebun mengurangkan kos pengeluaran, menghasilkan tanaman lebih berkualiti serta membuka peluang dalam sektor ekonomi hijau yang semakin berkembang.
TEROKA TEKNOLOGI BAHARU
Bagi memperkukuh usaha pengurusan sisa organik, MBSA merancang menambah bilangan mesin pengkomposan selaras dengan peningkatan kutipan sisa makanan apabila lebih banyak premis menyertai program pengasingan sisa.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, pihak berkuasa tempatan itu turut merancang meneroka penggunaan teknologi Anaerobic Digester (AD) yang mampu menghasilkan baja organik dan biogas daripada sisa makanan.
Selain itu, MBSA juga sedang mengkaji potensi penggunaan teknologi larva lalat askar hitam sebagai kaedah alternatif pengurusan sisa organik.
Pada masa sama, program Garbage to Garden (G2G) akan terus diperluas bagi menggalakkan komuniti menguruskan sendiri sisa makanan di kawasan kediaman mereka melalui kaedah pengkomposan berskala kecil.
"Kita mahu mengubah pemikiran masyarakat bahawa sisa makanan bukan semestinya berakhir di tapak pelupusan. Sebaliknya, sisa boleh kembali semula ke kebun sebagai baja organik. Itulah budaya yang ingin kita terapkan pada warga Shah Alam," katanya.









