SHAH ALAM, 1 DIS: Seramai 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banting menyertai Program MyGreen Future yang mengitar semula sisa makanan kepada baja organik, sekali gus menyemai minat terhadap STEM dan inovasi hijau dalam kalangan remaja.
Program hasil inisiatif Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan UiTM Puncak Alam, Dr Aisha Mohd Din itu berlangsung dari Ogos hingga November lalu melalui enam siri bimbingan dan amali.
Projek itu mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersempena Minggu Sains Negara 2025, Pusat Sains Negara, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat serta pentadbiran sekolah.
Pelajar terlibat mengumpul sisa makanan dari rumah dan kantin sekolah sebelum diproses menjadi baja organik dinamakan Green Powder. Baja tersebut diuji di makmal dan digunakan bagi menyuburkan tanaman sayuran di sekitar sekolah.
Hasil tanaman yang ditanam menggunakan baja itu turut dijual kepada komuniti setempat sekali gus memperkenalkan elemen keusahawanan dalam kalangan pelajar.
Dr Aisha berkata, dengan sokongan komuniti serta kerjasama pelbagai pihak, pelajar berpotensi menjadi pemacu perubahan ke arah masa depan lestari dan inovatif.
“Program seperti ini menunjukkan bahawa inovasi tidak semestinya terhad kepada makmal atau institusi besar, malah boleh bermula daripada bilik darjah melalui idea kecil yang mampu memberi impak besar,” katanya.
Projek berkenaan turut menghasilkan modul MyGreen Future sebagai panduan kepada kelab STEM sekolah lain bagi memperluaskan amalan kitar semula dan pendidikan hijau.
Sebagai penutup, satu pertandingan inovasi peringkat daerah Kuala Langat telah diadakan pada 7 November lalu melibatkan 12 sekolah seluruh daerah.
SMK Banting memenangi anugerah khas inovasi menerusi produk ‘The NatureNote’ iaitu kertas biodegradasi daripada kulit buah-buahan yang juga boleh dijadikan baja selepas digunakan.
Majlis penutup rasmi disempurnakan Timbalan Pengarah Pusat Sains Negara, Marziana Abdul Halim sebagai tanda sokongan terhadap usaha membudayakan sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan pelajar.





