Jurulatih renang impi ulangi kegemilangan SUKMA 2016

6 Ogos 2026, 12:00 AM
Jurulatih renang impi ulangi kegemilangan SUKMA 2016
Jurulatih renang impi ulangi kegemilangan SUKMA 2016

SHAH ALAM, 6 Ogos: Kejayaan cemerlang pasukan renang Selangor dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 yang meraih 20 pingat emas menjadi dambaan ketua jurulatihnya bagi edisi kali ini.

Mark Chua Yu Foong mengakui ada memasang impian agar kenangan manis sedekad lalu yang turut meraih lebih 20 pingat perak dan gangsa berulang dalam edisi ke-22 lantaran Selangor menjadi tuan rumah kali ini.

Beliau memberitahu pasukan renang sentiasa menyumbang banyak pingat emas kepada kontinjen Selangor dalan penganjuran SUKMA 2010 di Melaka, Pahang (2012) dan paling gemilang pada 2016.

Ketua Jurulatih Pasukan Renang Selangor, Mark Chua Yu Foong. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Paling banyak SUKMA 2016, sebanyak 20 pingat emas, lebih 20 pingat perak dan juga gangsa. Harap-harap kali ini kita dapat ulang kejayaan itu. Kalau tak boleh, dapat setengah (daripada 2016) sudah memadai.

"Tetapi sebagai tuan rumah, harapan kita agak tinggilah. Kita sasar, untuk pingat emas mungkin boleh dapat antara tujuh, lapan pingat,” katanya kepada Media Selangor.

Acara renang yang menawarkan 41 pingat emas dijadual berlangsung antara 19 hingga 23 Ogos di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Seksyen 13 di sini yang boleh menampung sekitar 4,000 pengunjung.

Atlet renang Selangor menjalani latihan menghadapi Sukma XXII ketika tinjauan di Kompleks 3k, Subang Jaya pada 5 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Mark juga menaruh keyakinan terhadap keupayaan atlet renang ekoran mereka memiliki pengalaman luas, malah kebanyakannya pernah menyertai beberapa SUKMA selain berstatus atlet kebangsaan.

Justeru, beliau meletak harapan tinggi ke atas bahu semua anak buahnya, sekali gus berharap pasukan mampu membantu Selangor bergelar juara keseluruhan dalam temasya dwitahunan itu.

“Persiapan SUKMA kali ini dibuat seminggu selepas SUKMA Sarawak berakhir. Kita tidak pernah berhenti berlatih selain menyertai beberapa kejohanan berprestij termasuk di luar negara.

“Baru-baru ini, kita sertai kejohanan di Singapura, agak sengit tetapi kita berjaya raih pingat. Kita tak ada sasar apa-apa, cuma hendak dedahkan atlet sahaja tetapi tak sangka boleh raih kejayaan,” katanya.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi meninjau latihan atlet renang Selangor selepas ditemu bual oleh pihak media di Kompleks 3k, Subang Jaya pada 5 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Pusat Akuatik Darul Ehsan di Seksyen 13 di sini dilengkapi kemudahan moden termasuk sensor masa dan sistem pemarkahan untuk penganjuran SUKMA 2026.

Menurut EXCO sukan, usaha naik taraf itu dijalakan melalui peruntukan RM40 juta melibatkan penggantian logistik utama antaranya tempat duduk penonton, pam air dan saluran paip bawah tanah.

Najwan Halimi berkata kerja itu dibuat dalam berskala besar, seiring keperluan semasa dan pertama kali sejak pusat berkenaan dibuka pada tahun 1997 sempena penganjuran Sukan Komanwel.

“Dengan penggunaan teknologi dan sistem moden, selepas ini Selangor akan menjadi tumpuan lokasi penganjuran kejohanan renang bertaraf antarabangsa,” katanya kepada Media Selangor.

SUKMA ke-22 mempertanding sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan meliputi sembilan daerah, membabitkan 52 venue di seluruh negeri sepanjang temasya antara 15 hingga 24 Ogos.

Para SUKMA pula diadakan dari 5 hingga 14 September melibatkan 369 acara daripada 10 jenis sukan antaranya renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang dan memanah.

Majlis pembukaan dijadual berlangsung Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Selain 15 kontinjen negeri, Brunei Darussalam turut menyertai SUKMA sebagai kontinjen jemputan.

SUKMA kali ini adalah temasya sukan terbesar negara kedua terakhir sebelum Kelantan pada 2028. Selangor yang menjadi tuan rumah menetapkan sasaran 80 pingat emas pada kali ini.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.