JAKARTA, 1 OGOS: Seorang juruterbang warga Malaysia boleh berdepan hukuman mati selepas didakwa menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi ke Indonesia.
Lelaki berusia 39 tahun yang hanya dikenali dengan singkatan MSO itu ditahan pada Rabu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sejurus tiba dari Kuala Lumpur.
Pemeriksaan kastam menemukan 14 bungkusan mengandungi lebih 70,000 pil ekstasi di dalam bagasinya, selain empat gram methamphetamine (meth) yang dipercayai untuk kegunaan peribadi di dalam dompetnya.
Pegawai Kastam Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang berkata, hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif meth, ekstasi dan kokain.
"Keputusan ujian air kencingnya positif untuk meth, ekstasi dan kokain. Jadi, ketika penerbangan, dia berada di bawah pengaruh dadah," katanya kepada pemberita di Jakarta.
Pihak kastam bagaimanapun tidak mendedahkan syarikat penerbangan yang menggajikan suspek, namun nombor penerbangan menunjukkan pesawat yang diterbangkannya dipercayai milik Malaysia Airlines.
Menurut Hengky, suspek dipercayai tidak menyangka bagasinya akan diperiksa kerana menggunakan laluan khas untuk juruterbang dan kru penerbangan, namun semua individu tetap tertakluk kepada prosedur pemeriksaan yang sama.
Dalam keterangannya kepada polis, suspek mengaku ini merupakan cubaan ketiganya menyeludup dadah, termasuk kali kedua ke Indonesia dan sekali di Malaysia.
Sementara itu, Pegawai Unit Jenayah Narkotik Polis, Awaludin Amin berkata, pihaknya mengesyaki lelaki berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan telah didakwa atas pertuduhan menyeludup.
Mengikut undang-undang Indonesia, kesalahan itu membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan sama, Kedutaan Malaysia di Jakarta memaklumkan pihaknya menerima notis penahanan seorang warga Malaysia di lapangan terbang berkenaan dan menghormati proses perundangan yang sedang berjalan di Indonesia.
Terdahulu, suspek memberitahu polis bahawa dia dijanjikan bayaran RM50,000 bagi menghantar dadah berkenaan ke Jakarta. — AFP






