MB: Kokurikulum bantu bentuk disiplin, modal insan berkualiti

3 Ogos 2026, 12:17 PM
MB: Kokurikulum bantu bentuk disiplin, modal insan berkualiti
MB: Kokurikulum bantu bentuk disiplin, modal insan berkualiti
MB: Kokurikulum bantu bentuk disiplin, modal insan berkualiti
MB: Kokurikulum bantu bentuk disiplin, modal insan berkualiti

SUNGAI BULOH, 3 OGOS: Usaha membangunkan modal insan tidak boleh hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh menerusi aktiviti kokurikulum yang mampu membentuk sahsiah, disiplin serta jati diri pelajar.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pendidikan tidak seharusnya dilihat sebagai proses yang hanya berlaku di dalam bilik darjah kerana kokurikulum turut memainkan peranan penting dalam pembentukan keperibadian seseorang.

"Kawad kaki bukan sekadar satu pertandingan. Tapi saya percaya ia medan yang bakal membentuk jati diri, sahsiah, keperibadian, rupa diri dan makna diri kepada kita semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Piala Dato' Menteri Besar Selangor 2026 di Padang Kawad Markas Operasi Siber dan Elektromagnet (MOSEP), Kem Paya Jaras di sini, hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Piala Dato' Menteri Besar di Padang Kawad Paya Jaras, Sungai Buloh pada 3 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Menurut Amirudin, latihan sepanjang pertandingan mengajar peserta mematuhi arahan, bekerjasama dalam pasukan dan membina ketabahan, sekali gus menjadi asas melahirkan masyarakat yang berdisiplin serta berdaya tahan.

Beliau berkata kejayaan dalam pertandingan bukanlah ukuran utama, sebaliknya, matlamat yang lebih besar ialah melahirkan individu yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

"Yang ada di depan saya ini adalah permata yang harus dibina. Kita tidak mempunyai sumber bahan mentah seperti minyak, seperti gas, berlian, emas ataupun perak.

"Tapi bagi saya, emas, perak dan permata itu adalah yang di depan saya iaitu generasi masa depan," katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Piala Dato' Menteri Besar di Padang Kawad Paya Jaras, Sungai Buloh pada 3 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pertandingan yang dianjurkan bersama Kerajaan Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah Gombak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Heights itu menghimpunkan lebih 6,000 peserta mewakili kira-kira 100 pasukan.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan membabitkan penyertaan pasukan badan beruniform sekolah rendah, Tunas Kadet Remaja Sekolah, Kadet Remaja Sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta beberapa kategori lain.

Daerah Klang muncul juara keseluruhan pertandingan, manakala Gombak dinobatkan sebagai naib juara keseluruhan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.