Selangor perkukuh sektor pendidikan, bina masyarakat tinggi nilai kemanusiaan

21 Feb 2026, 1:30 PM
Selangor perkukuh sektor pendidikan, bina masyarakat tinggi nilai kemanusiaan
Selangor perkukuh sektor pendidikan, bina masyarakat tinggi nilai kemanusiaan

SHAH ALAM, 21 FEB: Pentadbiran negeri menekankan sektor pendidikan sebagai elemen penting bagi memastikan masyarakat memiliki pedoman hidup serta mampu menghadapi cabaran, termasuk yang melangkaui akal fikiran.

Dato’ Menteri Besar berkata tanpa pendidikan, manusia menjadi tempang dan boleh menyebabkan berlakunya kejadian di luar batas seperti kejadian bunuh lima sekeluarga di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

“Hari ini kita berdepan dengan pelbagai cabaran, kadang-kadang di luar daripada batas logik, akal, fikiran. Kadang-kadang macam tak wujud benda ini berlaku tapi inilah realiti dunia.

“Beberapa hari lepas kita dengan satu keluarga meninggal dunia, bermula daripada seorang anak membunuh ibunya, keluarga dan akhirnya menamatkan hayatnya sendiri. Ini semua kita tidak pernah fikirkan. Anak membunuh ibu, cucu membunuh datuk nenek.

“Ini menyedarkan kita fungsi pendidikan masih lagi penting. Saluran informasi yang banyak ketika ini belum tentu membijakkan kita. Sebab itu perlunya anak-anak dididik, pelajar universiti dilatih dan dipandu dari segi kemanusiaannya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Dato’ Menteri Besar Bersama Guru dan Komuniti Pendidik Selangor di Dewan Raja Muda Muda, Seksyen 7, dekat sini.

Amirudin berkata pihaknya teguh menjadikan pendidikan sebagai kunci untuk terus kekal berjaya memandangkan sumber manusia menjadi tonggak utama negeri.

“Kita tak ada emas atau sumber bumi untuk digali tapi kita ada sumber manusia. Jadi kalau tiada ilmu pendidikan, kita berdepan cabaran yang sangat besar untuk mengekalkan kecemerlangan

“Selepas ini kita akan teliti segenap aspek, dari sekecil baucar buku sehingga 50 peratus pendidikan percuma di Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS). Kita angkat pendidikan bersama-sama,” katanya.

Belanjawan Selangor 2026 yang dibentang pada 14 November lalu memperuntukkan lebih RM136.2 juta bagi pendidikan dan pembangunan modal insan, jumlah tertinggi dalam sejarah negeri.

Peruntukan ini termasuk RM93 juta untuk program pendidikan dan RM3.7 juta untuk pembangunan modal insan, selain , RM8 juta disalurkan melalui Program Iltizam Selangor Penyayang.

Selain itu, seramai 4,000 anak Selangor yang melanjutkan pengajian di UIS dan UNISEL bagi kemasukan September tahun ini akan ditanggung 50 peratus yuran pengajian oleh Kerajaan Negeri.