SHAH ALAM, 18 OGOS: Seorang lelaki yang menjadi perhatian susulan kematian seekor anjing dikenali sebagai Rocky akan didakwa di Mahkamah Sesyen Klang pada Khamis (20 Ogos).
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata anak guamnya, Muhammad Shah Hizam, 24, menerima saman daripada seorang pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk hadir di mahkamah pada jam 9 pagi.
Beliau yang mewakili Muhammad Shah bersama peguam Mahmud Abdul Jumaat berkata pihaknya bagaimanapun belum dimaklumkan pertuduhan yang akan dikenakan terhadap anak guamnya.
"Setakat ini, kami masih belum mengetahui di bawah seksyen dan undang-undang mana beliau akan didakwa," katanya seperti dilapor NST.
Minggu lalu, Muhammad Shah menafikan dakwaan bahawa beliau mendera atau membunuh Rocky ketika menyertai satu operasi di Taman Telok Gedong Indah pada 29 Julai.

Beliau berkata tuduhan yang tular menerusi rakaman video itu menyebabkan dirinya tertekan selain menerima kecaman dan ugutan bunuh, walaupun hanya menjalankan tugas yang diarahkan.
Sebelum ini, Rafique memaklumkan Muhammad Shah bertindak sebagai wakil komuniti selepas menerima jemputan bertulis daripada Rukun Tetangga Jalan Sama Gagah, Taman Telok Gedong Indah bagi membantu operasi Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK).
Sementara itu, pemilik Rocky, S Roghini Devi, 42, mendakwa beliau menemui anjing peliharaannya dalam keadaan dijerat pada leher sebaik pulang ke rumah pada hari kejadian.
Menurutnya, beliau berulang kali merayu supaya jerat itu ditanggalkan dan menawarkan untuk menyerahkan Rocky, namun permintaannya tidak dipenuhi.
Pada 2 Ogos lalu, DVS membuat laporan polis dan merakam keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penderaan haiwan yang dirakam dalam video tular itu.
DVS memaklumkan laporan dibuat selepas Pasukan Kebajikan Haiwan jabatan berkenaan menerima bangkai seekor anjing jantan yang dipercayai Rocky susulan penularan video memaparkan beberapa individu mengikat serta menarik anjing itu menggunakan jerat pada leher ketika seorang wanita merayu supaya ia dilepaskan.






