Pinda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 perkukuh Islam dan kehakiman syariah

3 Ogos 2026, 7:13 AM
Pinda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 perkukuh Islam dan kehakiman syariah

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan Negeri mencadangkan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 bagi memperkukuh kedudukan agama Islam serta sistem kehakiman syariah.

EXCO Agama Islam berkata cadangan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 2026 itu antara lain memperuntukkan agama Islam di Selangor berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selain itu, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pindaan berkenaan turut mencadangkan pewujudan satu bab baharu berkaitan kehakiman syariah bagi memperkukuh Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman negeri.

“Selain itu, pindaan RUU juga mewujudkan suatu bab baharu berhubung kehakiman syariah bagi memperkukuhkan mahkamah syariah sebagai institusi kehakiman negeri.

“Pindaan ini bukan bertujuan mengubah kedudukan agama Islam di Selangor, sebaliknya memperkukuhkan kedudukan yang telah sekian lama diamalkan berdasarkan sejarah, undang-undang dan pentadbiran agama Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan cadangan RUU berkenaan melalui bacaan kali kedua pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Menurut Mohammad Fahmi, cadangan pindaan itu selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, keputusan Majlis Raja-Raja serta ketetapan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah diwartakan.

Katanya, pindaan itu turut menjadi kesinambungan kepada pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang telah diwartakan pada 2025 bagi memperkukuh pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai asas pentadbiran agama Islam di Selangor.

“Pindaan ini memperuntukkan pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor, Mufti, Timbalan Mufti, anggota jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, anggota jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor dan Rayuan Tauliah Majlis Agama Islam Selangor dibuat dalam kalangan individu beragama Islam dan berpegang Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 merupakan langkah lanjutan menyelaraskan kedudukan tersebut pada peringkat tertinggi undang-undang negeri,” katanya lagi.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.