SUNGAI BULOH, 3 OGOS: Bantuan Sarapan Percuma Sekolah menerusi Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) yang mula dilaksanakan hari ini menerima reaksi positif daripada murid dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sungai Buloh.
Program itu memberi peluang kepada murid menikmati sarapan secara percuma sekali gus membantu mereka berjimat apabila wang saku yang diberikan ibu bapa boleh disimpan untuk kegunaan masa hadapan.
Penerima, Abdul Rahman Qayyim Khairil Ridwan, 12, berkata beliau bercadang menyimpan semua wang perbelanjaan sekolah di dalam tabung hasil penjimatan menerusi program berkenaan.

“Saya mahu simpan duit belanja di tabung untuk masa depan. Terima kasih kepada Nutrisel kerana beri makanan kepada kami dan buat kami gembira,” katanya.
Bagi M Rashmikah, 12, beliau gembira apabila makanan kegemarannya iaitu nasi lemak, menjadi hidangan pertama yang diterima bagi program Nutrisel.
“Saya gembira sangat dan bersyukur dapat makanan ini. Nasi lemak adalah makanan kegemaran saya. Selalu saya bawa bekal atau beli makanan di kantin.

“Duit belanja ini saya simpan untuk beli barang yang saya suka. Terima kasih semua,” katanya.
Puteri Salsalbil Azzahra Abdullah, 10, memuji hidangan nasi lemak percuma Nutrisel selain gembira kerana tidak perlu beratur panjang di kantin hari ini.
“Nasi lemak yang disediakan sedap. Hari ini dapat jimat belanja dan tidak perlu beratur panjang di kantin seperti kawan lain.
“Saya sangat gembira. Biasanya saya beratur di kantin beli donut. Selalu ibu bagi RM2 atau RM3 setiap hari. Duit ini nanti saya simpan,” katanya.

Seramai 106,435 murid dan pelajar daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 di Selangor mula menikmati manfaat Bantuan Sarapan Percuma Sekolah menerusi Nutrisel, yang dilaksanakan serentak di 962 sekolah hari ini.
Program di bawah Pakej Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang bermula 3 Ogos hingga Oktober depan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM14.4 juta.









