SUKMA 2026 milik seluruh rakyat Selangor, manifestasi semangat kebersamaan

3 Ogos 2026, 4:59 AM
SUKMA 2026 milik seluruh rakyat Selangor, manifestasi semangat kebersamaan
SUKMA 2026 milik seluruh rakyat Selangor, manifestasi semangat kebersamaan

SHAH ALAM, 3 OGOS: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 perlu menjadi manifestasi semangat kebersamaan seluruh rakyat negeri ini dalam menjayakan temasya yang mencerminkan imej Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan Selangor sebagai tuan rumah tahun ini bukan hanya bergantung kepada atlet atau penganjur, sebaliknya memerlukan sokongan seluruh rakyat kerana mereka merupakan wajah negeri kepada puluhan ribu tetamu yang bakal hadir.

Menurutnya, selepas 28 tahun tidak menjadi tuan rumah SUKMA, temasya itu wajar diraikan sebagai milik bersama rakyat Selangor.

“Ini bukan program saya, bukan program MSN, bukan program mana-mana jabatan, tetapi program negeri dan rakyat negeri Selangor.

“Kita akan menjadi hos kepada puluhan ribu orang. Mungkin 13,000 atlet, tetapi kalau dicampur dengan penyokong, pegawai, ibu bapa dan sebagainya, kita mungkin mencecah 20,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2026 di sini, hari ini.

Amirudin berkata kira-kira 10,000 sukarelawan akan digerakkan bagi membantu kelancaran penganjuran SUKMA, manakala penjawat awam perlu memainkan peranan sebagai duta kecil negeri.

“Sebagai penjawat awam, selaku warga negeri Selangor, harus bersama-sama membantu kerana ia bukan hanya membawa imej satu-satu orang, tetapi imej kita semua.

“Kita berbangga negeri kita sebagai negeri paling maju, kita berbangga dengan sumbangan KDNK terbesar, tetapi saya juga berharap kita bekerja dan membantu bersama-sama supaya Selangor dikenang sebagai hos yang baik,” katanya.

Beliau berkata kejayaan penganjuran SUKMA akan mencerminkan nilai masyarakat Selangor yang ramah, beradab dan yakin menerima kehadiran tetamu dari seluruh negara.

Menurutnya, SUKMA Selangor 2026 bukan sekadar pertandingan sukan, sebaliknya platform untuk memperlihatkan semangat rakyat negeri ini yang bersatu, prihatin dan bersedia menjadi tuan rumah terbaik.

“Kalau semua kita meraikan temasya ini sebagai program kita bersama, SUKMA ini menjadi SUKMA Selangor, menjadi jiwa Selangor yang terbuka, berkeyakinan, ramah, beradab, maju dan insya-Allah kita akan dikenang.

“Bukan sahaja nanti insya-Allah sebagai juara dalam kejohanan, tetapi juga juara dalam penganjuran serta dikenang sebagai negeri yang maju, bertamadun dan ke hadapan,” katanya.

SUKMA 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA 2026 akan diadakan pada 5 hingga 14 September.

Temasya itu akan mempertandingkan 469 acara membabitkan 37 jenis sukan, manakala PARA SUKMA melibatkan 316 acara daripada 10 jenis sukan.

Dataran Kemerdekaan Shah Alam dipilih sebagai lokasi majlis pembukaan SUKMA 2026 yang dijangka berlangsung dalam suasana sederhana, namun tetap meriah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.