SHAH ALAM, 3 OGOS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diminta mengambil tindakan tegas termasuk menyenaraihitam mana-mana pihak yang menjual atau memindahkan lesen perniagaan kepada warga asing.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbuatan berkenaan bukan sahaja melanggar peraturan, malah boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat serta memberi kesan terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.
“Jadi, saya minta pihak PBT supaya ambil tindakan. Sesiapa yang menjual lesen ini perlu disenaraihitam kerana ia telah menimbulkan kebimbangan dan masalah awam yang besar dalam negara dan negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berhubung perkembangan pendatang asing termasuk etnik Rohingya pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Amirudin berkata pendirian Kerajaan Negeri kekal tidak membenarkan warga asing memiliki lesen perniagaan atau aset di Selangor.
Bagaimanapun, katanya, terdapat kes membabitkan warga asing yang hanya menyewa tanah atau premis daripada pemilik tempatan, sekali gus menyebabkan tindakan penguatkuasaan menjadi lebih mencabar.
“Apabila kita ambil tindakan terhadap tuan tanah, mereka perlu memulihkan semula tanah mengikut status asal. Ada kalanya struktur yang dirobohkan dibina semula dalam tempoh singkat.
“Ini antara kekangan yang kita hadapi walaupun menerima pelbagai kritikan,” jelasnya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri perlu mencari keseimbangan antara penguatkuasaan undang-undang, keselesaan masyarakat serta aspek kemanusiaan.
Katanya, kerajaan tidak mahu dilihat bertindak kejam terhadap individu yang melarikan diri akibat konflik di negara asal, namun pada masa sama bertanggungjawab memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
“Kita perlu mencapai titik keseimbangan supaya hak kemanusiaan terus dihormati tanpa mengabaikan kepentingan rakyat serta pematuhan kepada undang-undang,” katanya lagi.







