SHAH ALAM, 4 Ogos: Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor memberi jaminan untuk melindungi keselamatan terhadap petempatan atlet melalui kerjasama polis dan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mohd Yazid Sairi berkata polis akan kerap membuat rondaan ke semua 613 lokasi yang menempatkan kontinjen negeri bagi memastikan keselamatan mereka.
Beliau juga memberitahu PBT di Selangor juga terlibat secara langsung dalam menjaga keselamatan di kawasan pentadbiran masing-masing sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung.

“Memandangkan jumlah tempat penginapan banyak, agak sukar meletakkan anggota di setiap lokasi. Jadi pasukan ini akan mengerapkan rondaan di setiap kawasan penginapan semua atlet.
“PBT juga ada warden trafik dan penguat kuasa yang boleh membantu kawalan keselamatan. Kita yakin ramai anggota PBT akan turun membantu demi memastikan keselamatan terjamin,” katanya kepada Media Selangor.
Tiada perkampungan sukan dalam penganjuran kali ini bagi menjimatkan kos. Bagaimanapun, subdisi penginapan RM100 sehari diberi dan disalur melalui kontinjen masing-masing.

EXCO Sukan Najwan Halimi pula menjelaskan polis negeri mengetuai jawatankuasa keselamatan sepanjang SUKMA 2026 terutama melibatkan keselamatan atlet di lokasi awam.
Beliau berkata pihak berkuasa itu juga bertanggungjawab mengiring atlet dalam perlumbaan sukan berbasikal lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang acara berjalan.
“Bab keselamatan memang kita fokuskan terutama bawa atlet ke lokasi pertandingan. Memang kita minta bantuan polis untuk bantu. Mereka pantau trafik selain bagi nasihat berkenaan laluan sesuai.
“Kalau pertandingan awal pagi, polis akan mengiring untuk memudahkan pergerakan. Selain itu, setiap lokasi pertandingan kita sediakan anggota dan pegawai perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
“Jika ada atlet cedera atau pengsan, rawatan dapat diberi secepat mungkin selain kita juga tempatkan ambulans sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata aspek keselamatan diselaras bersama pentadbiran negeri selaku penganjur demi menjamin keselamatan semua atlet SUKMA.
Beliau memberitahu Kerajaan Negeri selaku penganjur SUKMA sudah lama berhubung dengan polis Selangor berhubung aspek bantuan dari segi kawalan keselamatan.
“Kita akan pastikan keselamatan atlet-atlet negeri lain yang datang untuk bersukan di negeri Selangor akan sentiasa terjaga dan terpelihara. Keselamatan mereka adalah terjamin,” katanya.
SUKMA ke-22 mempertanding sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan meliputi sembilan daerah, membabitkan 52 venue di seluruh negeri sepanjang temasya antara 15 hingga 24 Ogos.
Para SUKMA pula diadakan dari 5 hingga 14 September melibatkan 369 acara daripada 10 jenis sukan antaranya renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang dan memanah.
Majlis pembukaan dijadual berlangsung Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Selain 15 kontinjen negeri, Brunei Darussalam turut menyertai SUKMA sebagai kontinjen jemputan.
SUKMA kali ini adalah temasya sukan terbesar negara kedua terakhir sebelum Kelantan pada 2028. Selangor yang menjadi tuan rumah menetapkan sasaran 80 pingat emas pada kali ini.








