PBT berbelanja RM100 juta naik taraf prasarana sempena SUKMA

3 Ogos 2026, 2:00 AM
PBT berbelanja RM100 juta naik taraf prasarana sempena SUKMA
PBT berbelanja RM100 juta naik taraf prasarana sempena SUKMA

SHAH ALAM. 3 Ogos: Hampir 80 peratus kemudahan dan prasarana yang digunakan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 milik pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dinaik taraf melalui dana RM100 juta.

Pegawai Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor yakin usaha itu tidak sia-sia berikutan semua kemudahan tersebut memberi manfaat untuk masyarakat setempat dan pembangunan atlet.

“Lepas SUKMA, kemudahan ini boleh digunakan oleh masyarakat sekeliling. Jadi, kos baik pulih ini tidak akan jadi pembaziran atau projek gajah putih dan pembangunan atlet pada masa depan," kata Mohamad Nizam Marjugi kepada Media Selangor.

Mohamad Nizam Marjugi berkata hampir 80 peratus venue SUKMA Selangor 2026 milik pihak berkuasa tempatan yang dinaik taraf menerusi perbelanjaan hampir RM100 juta. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Beliau turut memberi penghargaan kepada semua PBT yang membantu menyediakan kemudahan lengkap untuk penganjuran SUKMA, apatah lagi ada antara kemudahan itu setaraf piawaian antarabangsa.

Katanya, kesediaan PBT mengeluarkan perbelanjaan sendiri bukan hanya untuk temasya dwitahunan itu semata-mata, sebaliknya mereka menyedari peluang untuk membangunkan lebih ramai atlet.

“PBT bermurah hati sediakan peruntukan baik pulih, menaik taraf venue-venue yang ada, hingga ada satu standardnya capai tahap peringkat antarabangsa," katanya.

Mohamad Nizam memberi contoh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menaik taraf Stadium MBPJ, hoki, sukan BMX dan tenis yang menelan belanja hampir RM10 juta, tidak termasuk PBT lain.

“Itu belum dikira dengan PBT lain seperti Klang, Shah Alam,” katanya lagi.

Stadium Hoki MBDK bertukar wajah selepas proses naik taraf ketika tinjauan pada 21 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau memberitahu MSN Selangor juga turun padang ke semua venue bagi membuat semakan dan penelitian selain meminta jawatankuasa teknikal SUKMA untuk membuat pemeriksaan lanjut.

“Kita tidak terima sebarang aduan berhubung spesifikasi, standard yang sedia ada. Kita pada fasa akhir untuk letak peralatan yang mahu digunakan, masukkan ke venue terlibat,” katanya.

SUKMA ke-22 mempertanding sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan meliputi sembilan daerah, membabitkan 52 venue di seluruh negeri sepanjang temasya antara 15 hingga 24 Ogos.

Seramai 60 atlet Pasukan Pencak Silat dan Taekwondo Selangor menjalani sesi ujian kecergasan sebagai persediaan menghadapi SUKMA Selangor di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 4, Shah Alam pada 24 Januari 2026. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor

Para SUKMA pula diadakan dari 5 hingga 14 September melibatkan 369 acara daripada 10 jenis sukan antaranya renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang dan memanah.

Majlis pembukaan dijadual berlangsung Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Selain 15 kontinjen negeri, Brunei Darussalam turut menyertai SUKMA sebagai kontinjen jemputan.

SUKMA kali ini adalah temasya sukan terbesar negara kedua terakhir sebelum Kelantan pada 2028. Selangor yang menjadi tuan rumah menetapkan sasaran 80 pingat emas pada kali ini.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.