SUKMA 2026: Senarai atlet Selangor dimuktamadkan 3 Julai

17 Jun 2026, 5:00 AM
SUKMA 2026: Senarai atlet Selangor dimuktamadkan 3 Julai
SUKMA 2026: Senarai atlet Selangor dimuktamadkan 3 Julai
SUKMA 2026: Senarai atlet Selangor dimuktamadkan 3 Julai
SUKMA 2026: Senarai atlet Selangor dimuktamadkan 3 Julai
SUKMA 2026: Senarai atlet Selangor dimuktamadkan 3 Julai

SHAH ALAM, 17 JUN: Senarai atlet yang bakal mewakili Kontinjen Selangor ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 akan dimuktamadkan 3 Julai ini selepas melalui proses penilaian akhir prestasi dan pemilihan.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi berkata atlet kini berada dalam fasa terakhir persiapan dengan masing-masing berusaha mempamerkan prestasi terbaik bagi merebut tempat dalam skuad negeri menjelang temasya itu Ogos ini.

Menurutnya, tempoh berbaki sebelum tarikh pemilihan akhir amat penting kerana MSN akan melakukan senarai pendek sebelum memilih atlet yang memenuhi kriteria ditetapkan.

“Mereka kini dalam pecutan terakhir dan perlu manfaatkan peluang sepenuhnya. Dalam tempoh berbaki seminggu dua ini, kita akan senarai pendek atlet dan memilih yang cemerlang serta memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, sebaik sahaja senarai dimuktamadkan pada 3 Julai, tiada perubahan nama dilakukan kecuali sekiranya berlaku kecederaan atau masalah tertentu yang memerlukan penggantian atlet.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi ditemui di Pejabat Majlis Sukan Negeri Selangor Shah Alam pada 3 Februari 2026. Foto HARUN TAJUDIN /MEDIA SELANGOR

Sebagai persediaan selepas itu, atlet terpilih akan mengikuti latihan khusus ke arah aspek visualisasi pertandingan bagi membantu mereka memperoleh gambaran sebenar suasana kejohanan sekali gus memperkukuhkan persediaan mental.

Mohamad Nizam berkata meski berpengalaman menyertai pelbagai kejohanan selain persediaan dibuat sejak 2024, atlet juga masih perlu diberi fokus terhadap elemen sains sukan yang menitikberatkan tahap kecergasan fizikal dan pematuhan diet seimbang.

“Dalam tempoh menuju SUKMA, setiap pasukan digalakkan menjalani latihan secara berpasukan dan meningkatkan intensiti latihan bagi memperkemaskan taktikal serta strategi pertandingan.

“Pasukan juga boleh mengadakan kem latihan sehingga hari kejohanan sekiranya atlet mendapat kebenaran bercuti dalam tempoh berkenaan. MSN akan buat surat memohon cuti supaya urusan persediaan akhir ini lancar,” katanya.

SUKMA edisi ke-22 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini melibatkan 469 acara daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue.

PARA SUKMA akan diadakan dari 5 hingga 10 September melibatkan 369 acara daripada 10 sukan merangkumi renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia serta powerlifting.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.