SHAH ALAM, 2 Ogos: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menggunakan sebanyak 52 kemudahan sebagai penganjuran venue acara termasuk aset milik institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Dato’ Mohd Yazid Sairi berkata kebanyakan venue kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala Velodrom Nasional Malaysia di Nilai tajaan Kementerian Belia dan Sukan.
“Kita mendapat kerjasama yang sangat baik dari kalangan PBT. Begitu juga dengan agensi kerajaan lain, contohnya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bina gelanggang tenis.
“Kita juga dapat bantuan agensi kerajaan contohnya INSPEN (Institut Penilaian Negara), IPTA antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Yazid, penganjuran temasya dwitahunan itu membentuk jalinan kerjasama dengan syarikat swasta selain menyewa beberapa venue bagi memudahkan acara berlangsung sebaik mungkin.
“Antaranya Sime Darby, Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Selangor. Selain sebahagian venue melibatkan penyewaan dengan syarikat-syarikat swasta untuk kemudahan fasiliti penganjuran acara-acara SUKMA,” katanya.

SUKMA ke-22 mempertanding sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan meliputi sembilan daerah, membabitkan 52 venue di seluruh negeri sepanjang temasya antara 15 hingga 24 Ogos.
Para SUKMA pula diadakan dari 5 hingga 14 September melibatkan 369 acara daripada 10 jenis sukan antaranya renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang dan memanah.
Majlis pembukaan dijadual berlangsung Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Selain 15 kontinjen negeri, Brunei Darussalam turut menyertai SUKMA sebagai kontinjen jemputan.
SUKMA kali ini adalah temasya sukan terbesar negara kedua terakhir sebelum Kelantan pada 2028. Selangor yang menjadi tuan rumah menetapkan sasaran 80 pingat emas pada kali ini.








