PUCHONG, 2 OGOS: Keterjaminan makanan dan penggunaan tanah berisiko rugi jika Malaysia tidak meneroka teknologi agrivoltaik secara menyeluruh dalam pembangunan industri solar.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata teknologi itu membolehkan tanah digunakan untuk dua fungsi serentak iaitu penjanaan tenaga solar dan aktiviti pertanian.
Menurut Prof Madya Ir Dr Mohammad Effendy Yaacob, perkembangan pesat industri solar menyebabkan pelabur berlumba-lumba mendapatkan tanah pertanian bagi membangunkan ladang solar berskala besar.
Apatah lagi, katanya, pembangunan industri berkenaan didorong jaminan kuota tahunan yang ditetapkan kerajaan menerusi dokumen Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

"Industri solar ada duit dan pelabur, tetapi tanah pula daripada kawasan pertanian. Kalau keadaan ini berterusan tanpa kawalan, kita akan hilang banyak tanah untuk pengeluaran makanan,” katanya.
Jelasnya, sasaran kuota 2,000 megawatt (MW) projek solar setahun bawah NETR memerlukan kira-kira 6,000 ekar tanah setiap tahun sehingga 2050 dan bakal memberi kesan terhadap landskap pertanian.
“Jumlah keseluruhan boleh mencecah 300,000 ekar tanah. Itu sangat besar dan akan memberi kesan kepada sektor pertanian negara,” katanya.
Tambah Dr Mohammad Effendy, tekanan ekonomi, peningkatan kos operasi serta risiko bencana menyebabkan sebahagian petani menjual tanah sebagai jalan keluar meningkatkan taraf hidup.
“Ada petani beritahu saya, mereka sudah puluhan tahun hidup susah dan mahu merasa hidup lebih selesa. Bila syarikat solar tawarkan harga tinggi, mereka jual.
"Kita tidak menolak industri solar kerana ia membawa pelaburan besar kepada negara, tetapi kita mahu penggunaan tanah secara dwifungsi supaya sekuriti makanan negara tidak terjejas,” katanya.

Justeru, katanya, pendekatan agrivoltaik mampu menjadi penyelesaian strategik dengan menggabungkan pertanian dan penternakan bersama tenaga solar dalam satu ekosistem tanah secara serentak.
Jelasnya lagi, model itu membolehkan tanah disewakan kepada pengendali solar tanpa mengorbankan fungsi asal kawasan pertanian, sekali gus membantu mengekalkan pengeluaran makanan negara.
“Kalau tiada campur tangan kerajaan dan polisi yang jelas, teknologi ini akan kekal di peringkat penyelidikan sahaja. Sedangkan kita sudah buktikan ia boleh dilaksanakan dan memberi manfaat kepada industri solar serta pertanian,” katanya.








