SERDANG, 22 NOV: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat mewakili Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), ke Majlis Makan Malam Amal Sirih Pulang ke Gagang @ Homecoming Alumni UPM Kali Ke-13 malam ini.
Tengku Amir Shah, yang juga Pro Canselor UPM, berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Mutiara kepada bekas Naib Canselor kedua UPM Profesor Emeritus Tan Sri Dr Nayan Ariffin yang berkhidmat dari 1982 hingga 1994.
Baginda turut menyampaikan Anugerah Perkasa Alumni kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Azhar Husin.
Pada majlis itu, Kerajaan Negeri Selangor turut menyumbang RM1 juta kepada UPM menerusi Tabung Endowmen Alumni Anak Negeri Selangor, yang disampaikan oleh Amirudin selaku Penaung Persatuan Alumni universiti berkenaan kepada Tengku Amir Shah.
Baginda turut menyempurnakan perasmian Menara Jam Warisan Budi UPM dan menyaksikan penyerahan sumbangan penajaan daripada 15 penyumbang bagi menyokong pembiayaan biasiswa serta pakej penajaan universiti.
Majlis anjuran Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) itu menghimpunkan kira-kira 600 alumni daripada pelbagai generasi sebagai platform mengeratkan hubungan antara bekas mahasiswa dengan universiti.
Naib Canselor UPM Profesor Dr Arifin Abdu dalam sembah ucapannya berkata majlis itu bukan sekadar medan pertemuan semula alumni malah menjadi wadah memperkukuh hubungan berterusan antara alumni dengan universiti dan menggalakkan penglibatan mereka dalam pembangunan alma mater.
Beliau berkata alumni memainkan peranan penting dalam memperluas akses pendidikan, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan pekerjaan di samping menyumbang kepada reputasi universiti khususnya dalam penarafan antarabangsa seperti QS World University Rankings, yang mengambil kira reputasi dalam kalangan majikan serta hasil pekerjaan graduan.
“Justeru, saya menyeru para alumni agar terus membuka ruang kepada mahasiswa dan graduan baharu UPM untuk menimba pengalaman, membina jaringan profesional serta membuktikan keupayaan mereka dalam bidang masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA










