PUCHONG, 1 OGOS: Inovasi agrivoltaik yang menggabungkan pertanian dan penjanaan tenaga solar dilihat mampu membantu negara membangunkan tenaga hijau tanpa menjejaskan pengeluaran makanan.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata pendekatan itu membolehkan tanah dimanfaatkan secara optimum tanpa mengorbankan fungsi pertanian sedia ada.
Menurut Prof Madya Ir Dr Mohammad Effendy Yaacob, penyelidikan yang dibuat kira-kira 11 tahun lalu kini menumpukan penternakan biri-biri bawah sistem solar, iaitu Agrivoltaic Sheep Sanctuary.
Jelasnya, projek terbaharu bermula Ogos tahun lalu membuka potensi penggunaan tanah secara lestari kerana kawasan penjanaan tenaga solar boleh dimanfaatkan untuk aktiviti pertanian dan penternakan.

“Kita tidak menolak industri tenaga solar kerana ia membawa pelaburan besar kepada negara, tetapi kita mahu penggunaan tanah dibuat secara dua fungsi supaya sekuriti makanan negara tidak terjejas,” katanya ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata UPM berjaya membuktikan penternakan biri-biri bawah sistem solar boleh dibuat secara komersial termasuk merekodkan kelahiran ternakan, dipercayai pertama seumpamanya di dunia.
Tambahnya, empat tumpuan agrivoltaik meliputi penternakan biri-biri termasuk pembiakan dan ragutan rumput, selain penyelidikan pastura melibatkan penanaman serta pemilihan rumput.
"Selain itu, kajian (tertumpu) pengurusan sisa melalui stesen kompos yang menukarkan tinja ternakan kepada baja dan potensi menjadikannya sebagai bahan bakar seperti biofuel serta biogas.
"(Sementara) penyelidikan sistem pembumian (earthing) bagi memastikan keselamatan dan kestabilan operasi ladang solar daripada risiko kerosakan akibat kilat," kata Dr Mohammad Effendy.

Menurutnya, agrivoltaik menjadi amalan di Amerika Syarikat dan Australia, namun kebanyakan hanya melibatkan aktiviti ragutan ternakan di kawasan ladang solar tanpa penternakan sepenuhnya.
Katanya, pendekatan UPM berbeza kerana merangkumi rantaian penternakan lengkap termasuk proses kelahiran dalam ekosistem solar, pencapaian signifikan dalam penyelidikan agrivoltaik tempatan.
“Satu dunia ini, kami rekodkan kelahiran biri-biri bawah sistem solar. Sekarang sudah ada kira-kira 15 kelahiran, menjadikan kira-kira 40 hingga 45 kambing biri-biri diternak di sini.
"Di Malaysia, kita ada sesuatu yang sangat bernilai sebab dapat buktikan bukan hanya biri-biri ini boleh bekerja meragut tetapi hidup dan melahirkan anak bawah sistem solar," katanya.









