Pemenang Pertandingan Kebun Komuniti MPAJ diumum hujung Ogos

31 Jul 2026, 7:00 AM
Pemenang Pertandingan Kebun Komuniti MPAJ diumum hujung Ogos
Pemenang Pertandingan Kebun Komuniti MPAJ diumum hujung Ogos
Pemenang Pertandingan Kebun Komuniti MPAJ diumum hujung Ogos

SHAH ALAM, 31 JULAI: Pemenang Pertandingan Kebun Komuniti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Tahun 2026 dijangka diumumkan pada penghujung Ogos depan selepas proses penjurian 27 kebun komuniti selesai hari ini.

MPAJ memaklumkan pertandingan yang memasuki penganjuran kali kelima itu mempertandingkan 10 kategori, termasuk Anugerah Komuniti, Sekolah, Aktif, Hijau, Ceria dan Berdaya Huni.

“Senarai pemenang bagi Pertandingan Kebun Komuniti MPAJ Tahun 2026 dijangka akan diumumkan pada penghujung Ogos 2026," kata MPAJ menerusi kenyataan kepada Media Selangor.

Menurut MPAJ, penggunaan teknologi tanaman seperti Internet of Things (IoT), hidroponik dan akuaponi antara inovasi yang paling mencuri perhatian panel penilai sepanjang proses penjurian.

Panel penilai meninjau salah sebuah kebun komuniti yang menyertai Pertandingan Kebun Komuniti MPAJ Tahun 2026. Foto Facebook MPAJ

“Sepanjang proses penjurian dijalankan, antara perkara yang menarik perhatian ialah penggunaan teknologi tanaman seperti Internet of Things (IoT), hidroponik, akuaponi dan banyak lagi," katanya.

MPAJ berkata panel penilai yang turut disertai Pejabat Pertanian Hulu Langat serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) meneliti kreativiti peserta dalam mengurus kebun masing-masing.

Antara pembaharuan yang diketengahkan peserta ialah sistem semburan air berjadual berasaskan IoT yang dibangunkan sendiri (DIY), selain teknik vermikompos menggunakan bekas plastik kitar semula bagi meningkatkan saliran air dan pengudaraan.

Selain inovasi, penilaian turut mengambil kira susun atur kebun, pengurusan tanaman secara sistematik, tahap kebersihan, penyelenggaraan serta kepelbagaian tanaman.

Proses penjurian Pertandingan Kebun Komuniti MPAJ Tahun 2026 melibatkan penilaian terhadap inovasi, pengurusan kebun dan penglibatan komuniti. Foto Facebook MPAJ

Penggunaan bahan kitar semula, amalan pertanian lestari dan teknologi yang dibangunkan sendiri tanpa bantuan kontraktor atau sumber kewangan luar turut menjadi antara kriteria pemilihan pemenang.

Penglibatan komuniti dalam mengurus dan mengekalkan kebun, selain manfaat yang dibawa kepada penduduk setempat turut diberi penekanan sepanjang proses penilaian.

MPAJ turut mendapati terdapat kebun yang dibangunkan di kawasan kecil, namun berjaya ditransformasikan menjadi ruang hijau produktif hasil kreativiti komuniti dengan penglibatan kanak-kanak, belia dan warga emas.

Pertandingan itu dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-34 MPAJ bagi menyokong pembangunan bandar hijau, memperkukuh amalan pertanian bandar serta mengiktiraf usaha komuniti mewujudkan persekitaran yang lebih hijau, mampan dan berdaya huni.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.