KUALA PILAH, 31 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 19 kerusi dengan jangkaan terbaik menang antara 21 hingga 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Sabtu ini, kata Pengarah Pilihan Rayanya, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata sasaran itu dibuat berdasarkan perkembangan semasa kempen serta prestasi gabungan berkenaan pada pilihan raya sebelum ini, namun keputusan akhir tetap bergantung kepada kebijaksanaan pengundi.
Amirudin bagaimanapun yakin, kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dengan rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah HARAPAN selama dua penggal memberikan kelebihan kepada gabungan itu.
“Kita cuba sedaya upaya untuk dapat minimum 19, dan kalau ada kemampuan yang lebih, kita mungkin boleh dapat antara 21 hingga 22. Itu jangkaan terbaik kita.
“Namun, kita percaya pada kebijaksanaan pengundi dan meneruskan kempen kerana kita melihat konsistensi sejak 2018,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, di sini malam tadi.
Mengulas dakwaan kononnya “gelombang biru” di Johor akan mempengaruhi keputusan PRN Negeri Sembilan, Amirudin berkata naratif itu sengaja dimainkan pihak tertentu bagi mempengaruhi pengundi.
Beliau berkata HARAPAN sebaliknya akan terus mengetengahkan agenda Malaysia MADANI serta perpaduan rakyat sebagai tawaran kepada pengundi.
“Sudah pasti itu cuba dicipta oleh pembangkang sekarang, tapi di sini kita mempunyai sejarah kepimpinan dan juga tokoh besar sendiri.
“Kita akan cuba mengetengahkan solusi ataupun pandangan kita untuk mengetengahkan konteks MADANI, kesatuan rakyat sebagai solusi berbanding dengan retorika perpaduan mana-mana kaum,” katanya.
Esok seramai 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu selepas DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas bagi memberikan laluan untuk PRN Negeri Sembilan diadakan.
Pada Selasa lepas, sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing.







