SUKMA: Selangor kekal sasar 80 pingat emas

30 Jul 2026, 7:53 AM
SUKMA: Selangor kekal sasar 80 pingat emas

SHAH ALAM, 30 JULAI: Selangor optimis mencapai sasaran 80 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan membuka tirai pada 15 Ogos depan.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata sasaran itu dikekalkan berdasarkan prestasi semasa serta tahap persiapan lebih 1,000 atlet yang kini berada pada fasa akhir latihan menjelang kejohanan.

“Unjuran pingat emas kita kekalkan 80 dan daripada segi persiapan, kita kini berada di peringkat akhir. Kurang lebih hanya tinggal dua minggu lagi sebelum SUKMA bermula.

“Daripada segi persiapan majlis perasmian pula, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sedang melaksanakan kerja-kerja akhir bagi memastikan majlis itu berjalan lancar.

“Insya-Allah kita akan pastikan majlis ini, walaupun diadakan secara sederhana, tetap berlangsung dengan meriah. Namun yang lebih penting ialah pengelolaan dan pengurusan semua acara sukan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perbarisan penutup Kursus Bakal Pegawai Sukarela Decentralised Siri 2/2026 di Kem Askar Wataniah Rejimen 502, Sungai Buloh hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata sesi taklimat kepada sukarelawan SUKMA sedang giat dijalankan bagi memastikan kelancaran penganjuran temasya dwitahunan itu.

“Kita telah selesai melaksanakan taklimat bersama para sukarelawan yang dikendalikan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor.

“Insya-Allah akan ada beberapa lagi fasa taklimat membabitkan sukarelawan dan ketika ini kita berada dalam keadaan bersedia,” katanya.

Beliau turut memaklumkan semua venue SUKMA telah selesai dinaik taraf dan kini berada dalam keadaan siap untuk digunakan.

“Pada 8 Ogos depan akan berlangsung majlis pembukaan semula Pusat Akuatik Selangor yang akan disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah,” katanya.

SUKMA edisi ke-22 akan mempertandingkan 469 acara membabitkan 37 jenis sukan di 52 venue yang terletak di sembilan daerah di Selangor.

Sementara itu, Para SUKMA akan mempertandingkan 369 acara dalam 10 jenis sukan, iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, boling tenpin, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.

Temasya sukan terbesar negara itu akan disertai semua kontinjen negeri, manakala Brunei Darussalam turut mengambil bahagian sebagai kontinjen jemputan, menjadikan keseluruhan penyertaan sebanyak 15 kontinjen.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.