SHAH ALAM, 1 OKT: Lapan anggota polis bersama seorang lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dengan aktiviti air ketum dalam serbuan khas di Taman Keramat, Kuala Lumpur kelmarin.
Menurut sumber, tangkapan dibuat susulan maklumat risikan sebelum operasi bersepadu digerakkan pada malam Isnin lalu.
Katanya, sepasukan pegawai Cawangan Risikan dan Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menyerbu lokasi di Jalan AU 1, Taman Keramat kira-kira jam 8.45 malam.
“Dalam serbuan itu, pasukan operasi menahan lapan Pegawai Rendah Polis (PRP).
“Tujuh daripadanya bertugas di pelbagai cawangan sekitar IPD Sentul, manakala seorang lagi bertugas di IPD Brickfields. Turut ditahan bersama mereka di lokasi adalah seorang orang awam,” kata sumber itu, lapor Harian Metro.
Sumber memaklumkan kesemua suspek kini ditempatkan di Lokap Balai Polis Hulu Kelang untuk tindakan lanjut.
Kertas siasatan turut dibuka manakala permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sementara itu, Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Aida Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian serta penahanan kesemua suspek berkenaan.
Beliau berkata JIPS sedang memantau rapat kes berkenaan manakala siasatan secara telus dilaksanakan IPD Ampang Jaya.
“Ya, pihak JIPS Bukit Aman mengesahkan penahanan lapan anggota polis Kontinjen Kuala Lumpur berserta seorang individu awam dalam operasi di Taman Keramat,” katanya.







