ADN Kajang gesa selaras laluan Bas Selangorku, Rapid KL, pastikan perkhidmatan menyeluruh

29 Jul 2026, 1:58 PM
ADN Kajang gesa selaras laluan Bas Selangorku, Rapid KL, pastikan perkhidmatan menyeluruh

SHAH ALAM, 29 JULAI: Pelan laluan bas yang lebih menyeluruh dan selaras membabitkan perkhidmatan Bas SelangorKu serta Rapid KL sedang dirangka bagi meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat penyelarasan di Menara Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang melibatkan pihak berkuasa tempatan, Rapid Prasarana serta Ahli-Ahli Majlis.

Beliau berkata mesyuarat berkenaan diadakan susulan beberapa siri perbincangan dan penyelarasan sebelum ini bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang sering dibangkitkan pengguna pengangkutan awam di kawasan berkenaan.

"Antara fokus utama ialah mengurangkan tempoh menunggu bas yang terlalu lama di beberapa hentian, selain menyemak semula liputan laluan sedia ada bagi mengenal pasti kawasan yang telah menerima perkhidmatan serta kawasan yang masih memerlukan liputan," katanya dalam kenyataan hari ini.

David berkata Ahli-Ahli Majlis turut mengemukakan pandangan berdasarkan keperluan sebenar di kawasan masing-masing bagi memastikan perancangan laluan baharu dapat memenuhi permintaan penduduk.

Beliau berkata penelitian turut dibuat terhadap pelan laluan bas yang dibentangkan sebelum meminta pihak berkaitan menilai semula beberapa laluan selain menyediakan cadangan pelan baharu untuk dibentangkan pada mesyuarat susulan dalam masa terdekat.

Menurutnya, MPKj dan Rapid Prasarana juga diminta menyediakan pelan laluan yang lebih menyeluruh berserta data penggunaan bas bagi membolehkan penilaian dibuat secara lebih tepat dan berasaskan keperluan sebenar pengguna.

Beliau berkata usaha memperkukuh rangkaian pengangkutan awam perlu dipergiat memandangkan kerajaan sejak sekian lama menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, namun sambutannya masih belum mencapai tahap diharapkan berikutan liputan laluan di sesetengah kawasan yang masih kurang menyeluruh dan efisien.

David berkata beliau akan terus bekerjasama dengan MPKj, Ahli-Ahli Majlis serta semua agensi berkaitan bagi memastikan setiap cadangan yang dibincangkan dapat direalisasikan sekali gus menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, mudah diakses dan memenuhi keperluan penduduk DUN Kajang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.