Program Picklespark sasar lahir pelapis sukan pickleball Selangor

29 Jul 2026, 11:00 AM
Program Picklespark sasar lahir pelapis sukan pickleball Selangor
Program Picklespark sasar lahir pelapis sukan pickleball Selangor

GOMBAK, 29 JULAI: Program Pembangunan Sukan Pickleball Negeri Selangor (Picklespark) bukan sekadar memperkenalkan sukan pickleball di peringkat sekolah, malah berperanan sebagai platform mengenal pasti dan mencungkil bakat baharu untuk mewakili Selangor pada masa hadapan.

Bagi Muhammad Zarif Waldan Mohd Azli, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Buloh, penyertaannya dalam program itu mengukuhkan lagi impian untuk mewakili Selangor.

Kongsinya lagi, dia aktif bermain pickleball sejak awal tahun lalu selepas mendapat galakan daripada bapanya sebelum menyertai beberapa kejohanan peringkat sekolah dengan melepasi sesi pemilihan pemain.

Peserta, Muhammad Zarif Waldan Mohd Azli bercakap kepada media selepas tamat sesi latihan Program Pembagunan Sukan Pickleball Negeri Selangor (PICKLEPARK) di Slk Sport Center, Gombak pada 29 Julai 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Program Picklespark memberi pendedahan baharu kerana latihan lebih tersusun dan efektif berbanding sebelum ini.

“Saya turut mempelajari teknik melakukan servis dan mengembalikan bola dengan lebih baik. Pengalaman ini banyak membantu meningkatkan keyakinan serta kemahiran saya,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Leong Xiu Mun, 15, dari sekolah sama, berkongsi penyertaannya dalam program ini merupakan pengalaman pertama bermain pickleball selepas mendapat sokongan dari gurunya.

Peserta, Leong Xiu Mun bercakap kepada media selepas tamat sesi latihan Program Pembagunan Sukan Pickleball Negeri Selangor (PICKLEPARK) di Slk Sport Center, Gombak pada 29 Julai 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Katanya, walaupun baru berjinak-jinak dengan sukan berkenaan, dia mula meminatinya dan berhasrat meneruskan latihan secara aktif.

“Saya seronok mengikuti latihan kerana banyak perkara baharu dipelajari. Program ini membuatkan saya lebih berminat untuk terus bermain pickleball.

“Saya berharap dapat meningkatkan kemahiran dan suatu hari nanti mewakili Selangor serta membanggakan ibu,” ujarnya.

Picklespark dianjurkan dengan sokongan peruntukan RM500,000 daripada Kerajaan Negeri menerusi kerjasama strategik bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, PKNS Real Estate Sdn.Bhd. (PREC) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pengurus Programnya Prof Dr Mohamad Rahizam Abdul Rahim berkata, program selama setahun itu melibatkan murid berusia 10 hingga 15 tahun serta 100 guru daripada 50 sekolah di seluruh Selangor.

Program ini merupakan komitmen Kerajaan Negeri dalam membangunkan ekosistem sukan pickleball secara tersusun, inklusif dan mampan.

Modul kejurulatihan yang dipakai diolah daripada Persatuan Pickleball Malaysia sebagai pendekatan pembangunan akar umbi dalam melahirkan lebih ramai pemain dan jurulatih profesional di masa hadapan.

Pengurus Program, Prof Dr Mohamad Rahizam Abdul Rahim bercakap kepada media selepas tamat sesi latihan Program Pembagunan Sukan Pickleball Negeri Selangor (PICKLEPARK) di Slk Sport Center, Gombak pada 29 Julai 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.