Selangor Grand Slam Pickleball 2026 pacu pelancongan sukan berimpak tinggi

18 Jul 2026, 6:05 AM
Selangor Grand Slam Pickleball 2026 pacu pelancongan sukan berimpak tinggi
Selangor Grand Slam Pickleball 2026 pacu pelancongan sukan berimpak tinggi
Selangor Grand Slam Pickleball 2026 pacu pelancongan sukan berimpak tinggi
Selangor Grand Slam Pickleball 2026 pacu pelancongan sukan berimpak tinggi

KUALA LANGAT, 18 JULAI: Kejohanan Selangor Grand Slam Pickleball 2026 berpotensi membangunkan ekosistem pelancongan yang dinamik, inklusif dan berimpak tinggi, terutama ketika berlangsungnya Tahun Melawat Selangor 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, landskap pelancongan global ketika ini tidak boleh bergantung kepada produk konvensional semata-mata, sebaliknya perlu mencipta pengalaman yang relevan dan berupaya menarik pelbagai segmen pelawat.

Justeru, beliau berkata, pickleball dapat membentuk tarikan baharu susulan kemunculan acara itu sebagai fenomena dalam dunia sukan yang berkembang pesat di seluruh dunia.

“Sukan ini berjaya merentasi sempadan umur, latar belakang dan tahap kemahiran, sekali gus mewujudkan sebuah komuniti yang aktif, progresif dan inklusif.

“Potensi inilah yang membuka ruang kepada Selangor untuk meneroka dimensi baharu dalam pembangunan pelancongan berasaskan sukan,” katanya ketika merasmikan kejohanan berkenaan.

Yee Ling berkata kejohanan yang melibatkan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Langat, Bateriku dan Ancubic Group itu turut memangkin kehadiran pelawat ke negeri ini, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi tempatan.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan turut menggambarkan Selangor mempunyai pelbagai kelebihan untuk muncul sebagai hab utama acara sukan bertaraf tinggi di Malaysia.

“Dengan infrastruktur lengkap, jaringan perhubungan, kemudahan bertaraf antarabangsa serta sokongan kukuh semua sektor, Selangor berada pada kedudukan strategik untuk menarik lebih banyak acara berimpak tinggi.

“Tourism Selangor percaya pelancongan dan sukan adalah dua sektor yang saling melengkapi. Kedua-dua sektor ini mampu menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pelaburan,” katanya.

Pada April lalu, EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim yakin Selangor mampu mencapai sasaran sembilan juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Selangor 2026.

Menurutnya, walaupun berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat, langkah proaktif telah dirangka bagi memastikan sektor itu terus kukuh, termasuk mengalih fokus promosi kepada pasaran Asia seperti Jepun, China, Taiwan serta negara Asia Tenggara.

Selain itu, usaha turut dipergiat untuk menarik pelancong dari Australia sebagai sebahagian langkah mengimbangi kekurangan daripada pasaran tertentu.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.