SHAH ALAM, 3 DIS: Pendidikan berterusan dan pendekatan mesra komuniti dikenal pasti sebagai langkah paling berkesan menangani isu penderaan serta pengabaian haiwan yang semakin membimbangkan.
Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Prof Madya Arie Dwi berkata kesedaran masyarakat terhadap hak dan kebajikan haiwan khususnya haiwan jalanan perlu diperkukuh melalui program pendidikan yang dekat dengan komuniti.

“Program seperti ini mendidik masyarakat untuk memahami, mendekati dan menyayangi haiwan, selain menyedarkan bahawa haiwan mempunyai peranan dalam ekosistem dan wajar dihormati,” katanya ketika ditemui pada Program Berkhidmat Dengan Tujuan di Tomaz Pickleball Club, di sini hari ini.
Beliau menegaskan pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk budaya penyayang terhadap haiwan sekali gus mengurangkan kes penderaan dan pengabaian.
Sementara itu, Presiden Program Berkhidmat Dengan Tujuan Danial Haikal Mohd Hanafi berkata program tersebut dianjurkan susulan peningkatan ketara kes penderaan haiwan kebelakangan ini.

“Kami memilih pendekatan sukan dan pendidikan supaya mesej kebajikan haiwan dapat disampaikan secara santai, mudah difahami dan tidak membosankan,” katanya.
Menurutnya, aktiviti seperti pickleball bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memberi peluang kepada peserta memahami isu kebajikan haiwan secara lebih dekat.

Program anjuran pelajar Perhubungan Awam Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA itu berjaya mengumpul dana RM2,000 untuk disalurkan kepada persatuan kebajikan haiwan bagi menyokong usaha perlindungan dan penjagaan haiwan terbiar.
Dalam pada itu, penyampai Radio ERA Naja Nabihah Zulkeflee menyifatkan pendekatan berkonsepkan sukan sebagai inisiatif relevan yang mampu menarik minat golongan muda dan keluarga.

“Peserta bukan sahaja bersukan, tetapi turut didedahkan kepada asas penjagaan haiwan serta kepentingan kasih sayang terhadap kebajikan haiwan,” katanya.





